KUALA LUMPUR 6 Mac – Polis Diraja Malaysia kesal dengan dakwaan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang mengaitkan polis Cawangan Khas dengan kehilangan aktivis sosial, Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh Keng Joo.
Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, beliau sebagai Pengarah Cawangan Khas merasa amat terkesan dengan dakwaan tersebut.
“Dakwaan (Suhakam) yang didedahkan baru-baru ini melibatkan dan mengaitkan Cawangan Khas dengan perbuatan yang terang-terang salah di sisi undang-undang.
“Saya ambil berat tentang apa jua yang diluahkan suruhanjaya itu dan saya yakin Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun akan memberikan komen atau kenyataan untuk menjawab apa yang dibangkitkan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas upacara Perbarisan dan Penyampaian Sijil Tamat Latihan Asas Kepolisan (PLAK) Kadet Inspektor Siri 2 dan 3 /2018 di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Menurut Abdul Hamid, tindakan Suhakam itu turut mendapat kecaman daripada segelintir pengamal undang-undang.
“Ada yang mengatakan Suhakam tidak sepatutnya bertindak sedemikian iaitu mendedahkan dapatan kepada umum sebelum mengangkat apa juga maklumat itu kepada pihak berkuasa.
“Namun ada juga pengamal undang-undang yang bersetuju dengan tindakan mereka itu,” ujarnya.
Sebelum ini, Suhakam mendakwa polis Cawangan Khas bertanggungjawab terhadap kehilangan secara paksa membabitkan aktivis sosial, Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh Keng Joo.
Kesimpulan itu dibuat hasil inkuiri awam terhadap kehilangan dua individu berkenaan yang bermula Oktober 2017.
Dalam perkembangan yang sama, Abdul Hamid berkata, satu jawatankuasa siasatan sudah pun ditubuhkan untuk memenuhi tuntutan Suhakam sebelum ini untuk menyiasat kehilangan kedua-dua individu tersebut.
“Polis juga sudah memberi kerjasama dengan mengadakan saksi-saksi untuk disoal sewaktu sesi inkuiri awam tersebut,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











