Pasaran Mesir buka laluan pengembangan Proton - Utusan Malaysia

Pasaran Mesir buka laluan pengembangan Proton

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA – Konglo­merat DRB-Hicom optimis langkah Proton Holdings Bhd. (Proton) memulakan operasi model pemasangan tempatan (CKD) di Mesir bakal membuka gerbang strategik dalam mengembangkan pasaran jenama automotif tersebut di negara-negara sekitarnya.

Pengarah Urusannya, Datuk Seri Syed Faisal Albar berkata, langkah itu turut dilihat sebagai sebuah usaha yang tepat dilaksanakan oleh pengeluar kereta nasional berkenaan bagi mengukuhkan kehadirannya di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, kumpulan itu bagaimanapun masih dalam proses usaha wajar berhubung inisiatif di Mesir tersebut dengan rakan kerjasama berpotensi tempatan, Alpha Group Ezz Elarab.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami melihat peluang positif menerusi pelan strategik ini, yang mana Proton boleh memanfaatkan kedudukan Mesir yang mempunyai hubungan rapat dengan negara rantau, ia sekali gus membuka potensi bagi pasaran-pasaran sekitar.

“Bagaimanapun, perkara ini masih diperingkat proses usaha wajar dan kini sedang membuat perbincangan menyeluruh, ini kerana terdapat pelbagai aspek yang perlu diambil perhatian sebelum segalanya dimuktamadkan kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena DRB-Hicom Media Escapade 2019 di Hotel Double Tree by Hilton, Hatten City di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Operasi, Perkhidmatan Korporat, Datuk Jezilee Mohamad Ramli, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Proton Holdings Bhd., Datuk Radzaif Mohamed, CEO Composite Technology Research Malaysia Sdn. Bhd. (CTRM), Shamsuddin Mohd. Yusof dan CEO Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas), Roslan Roskan.

Proton pada November lalu merancang memulakan operasi CKD di Mesir sebagai usaha mengukuhkan kedudukannya di pasaran global. CEO Proton,  Dr. Li Chunrong turut memaklumkan, inisiatif itu mampu menjadikan Mesir sebagai hab serantau untuk pasaran rantau Timur Tengah Afrika Utara (MENA).

Dalam pada itu, menurut Syed Faisal, rancangan pemulihan Proton kini telah menunjukkan pengembangan yang baik khususnya selepas kejayaan pengenalan kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama pada tahun lalu menerusi jalinan kerjasama (PROTON-Geely Holding).

“Sejak model ini dilancarkan, kami menerima lebih 20,000 tempahan X70 dan 10,000 unit ketika ini telah diserahkan kepada pelanggan. Daripada keseluruhan jumlah berkenaan, 10 peratus merupakan pasaran pelanggan dari Sabah dan Sarawak.

“Selaras dengan itu, program pemasangan X70 bakal dilaksanakan secara CKD di kilang pengeluaran Proton di Tanjung Malim khususnya selepas kerja-kerja pembesarannya nanti selesai.

“Kami memperuntukkan pelaburan bernilai RM1.2 bilion merangkumi langkah pembesaran kilang pengeluaran dan pembangunan produk. Usaha berkenaan telah dimulakan sejak tahun lalu dan bakal menjadikan Tanjung Malim sebagai pusat pengeluaran model baharu Proton pada masa hadapan,” ujarnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini