KUANTAN 10 April – Kerajaan negeri akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi di sini hari ini yang mengarahkan supaya menangguhkan sementara operasi penguatkuasaan tanah dan kebun haram di Cameron Highlands dekat sini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, beliau dimaklumkan oleh Penasihat Undang-Undang Pahang bahawa seramai 23 pekebun sayur di Cameron Highlands memfailkan injunksi kepada Mahkamah Tinggi di sini pada 3 April lalu.
“Hari ini mahkamah telah membuat keputusan supaya kerajaan negeri tanggguh sementara penguatkuasaan dan kita akur arahan itu.
“Bagaimanapun, kita akan membuat rayuan esok berhubung keputusan itu kerana apa yang kita lakukan (penguatkuasaan) adalah merujuk kepada penerokaan tanah haram di situ,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Prapelelancaran Pengaturan Kendiri Prosedur Permohonan Cadangan Pemajuan Pihak Berkuasa Tempatan negeri di sini hari ini.
Yang hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Abd. Rahim Muda.
Bulan lalu, kerajaan negeri menjalankan operasi memusnahkan 61 kebun haram dengan keluasan berjumlah kira-kira 55 hektar di Cameron Highlands.
Penguatkuasaan itu ekoran pencerobohan yang berlaku di rizab sungai dan rizab jalan yang berada dalam kawasan tadahan air di Kuala Terla khususnya Sungai Ichat di bawah Mukim Ulu Telom. – UTUSAN ONLINE











