ALOR SETAR 14 April – Kemenangan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau membuktikan pengundi-pengundi di kawasan itu lebih rela ‘susah’ bersama-sama parti itu berbanding menyokong Pakatan Harapan (PH) yang hanya menjanjikan bulan dan bintang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, orang-orang Melayu, Cina dan India di Rantau merasai erti kesusahan dengan kos sara hidup semakin tinggi dalam tempoh 11 bulan ini, selain subsidi dan bantuan kerajaan yang semakin berkurangan.
Menurut beliau, malah rakyat secara keseluruhannya sama ada yang tinggal di kampung atau bandar juga kini berada dalam situasi sama dan kebanyakan yang terasa keperitan itu adalah orang-orang Melayu ekoran harga komoditi rakyat seperti getah dan kelapa sawit yang semakin merudum.
“Akhirnya, orang-orang Melayu di Rantau merasakan lebih baik kita sama-sama susah bersama UMNO, Barisan Nasional (BN), Pas dan Tok Mat (Mohamad) daripada menyokong PH yang menjanjikan bulan dan bintang tetapi tidak kesampaian.
“Masyarakat Cina dan India di Rantau pula lebih selesa menyokong calon BN, Tok Mat yang sering membantu mereka selama ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dalam PRK DUN Rantau semalam, Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan menewaskan calon PH, Dr. S. Streram dengan majoriti 4,510 undi selepas meraih 10,397 undi berbanding pencabarnya itu, 5,887 undi.
Sehubungan itu, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap merakamkan penghargaan kepada pengundi Rantau yang telah menyokong BN dan memenangkan Mohamad dalam pilihan raya itu.
“Terima kasih juga kepada seluruh jentera UMNO, MCA, MIC, Pas, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakan-rakan akrab BN. Maruah BN dan UMNO terbela di PRK Rantau,” katanya. – UTUSAN ONLINE











