KETUA Dewan Ulama Pas Pusat, Nik Abdul Aziz Nik Mat mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan yang kelima menggantikan Tan Sri Muhamed Yaacob pada 23 Oktober 1990, selepas kejayaan partinya yang bergabung dalam Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-8.
Akhbar Utusan Malaysia pada 24 Oktober 1990 melaporkan, Angkatan yang disertai Pas, Semangat 46, Berjasa dan Hamim bersetuju memilih Nik Aziz yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan menjadi Menteri Besar berdasarkan kepada hakikat bahawa Kelantan merupakan kubu kuat Pas.
Menurut Mohd. Aizat Mohd Salleh Al-Hafiz dalam bukunya Pemikiran Tuan Guru (2011), pada awalnya Nik Abdul Aziz tatkala diberi amanah itu, agak keberatan untuk memikul amanah besar itu sebagai orang nombor satu di Kelantan.

“Berat rasanya saya hendak pegang jawatan ini. Ia merupakan ‘khizyun fi dunya, wa nadaamah fi al-Akhirat’ (kesengsaraan di dunia dan penyesalan di akhirat,”katanya.
Nik Abdul Aziz bersama Angkatan terus melaksanakan perubahan dan tanggungjawab pembangunan negeri dan rakyat selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kelantan.
“Dalam ceramahnya, di Masjid Pulau Melaka, Kelantan, Nik Abdul Aziz telah mengumumkan kepada rakyat untuk membuat potongan sebanyak 40 peratus daripada gajinya pada setiap bulan bagi disumbangkan kepada dana parti dan lima peratus lagi disumbangkan ke dalam khazanah negeri. Ini menjadikan jumlah keseluruhan potongan gaji Menteri Besar Kelantan adalah sebanyak 50 peratus dan wakil rakyat sebanyak 20 peratus” (Mohd. Aizat Mohd Salleh Al-Hafiz 2011: 42).
Pendekatan Nik Abdul Aziz terhadap konsep “Membangun Bersama Islam” pula berjaya menambat hati serta menarik minat masyarakat Kelantan mengenai konsep Islam untuk ‘memimpin dan mentadbir’ negeri itu.
Selepas seminggu memimpin negeri itu, Nik Abdul Aziz sekali lagi membuat kejutan apabila mengeluarkan arahan kepada jabatan kerajaan negeri dan badan berkanun di Kelantan supaya menghapuskan tradisi memberi cenderahati dan hadiah kepadanya. Pendirian beliau tegas iaitu walaupun sekecil mana duit rakyat dan kerajaan ia perlu disalurkan dengan betul dan sistematik.
Langkah drastik seterusnya yang dilaksanakan beliau ialah memotong sebanyak 20 peratus daripada keseluruhan gaji wakil rakyat Angkatan bagi menyelamatkan wang kerajaan sebanyak RM18,000 setahun.(Mohd. Aizat Mohd Salleh Al-Hafiz 2011: 43)
Selain itu, Nik Abdul Aziz turut melaksanakan penghapusan peruntukkan elaun untuk Menteri Besar bagi mengadakan Majlis Berbuka Puasa sebanyak RM6,000 dan elaun menyediakan jamuan serta Rumah Terbuka sebanyak RM15,000.
“Apa yang saya mahu tekankan di sini bukan jumlah yang kita boleh jimatkan, tetapi sikap kita kepada ganjaran yang sepatutnya kita nikmati. Gaji saya beribu-beribu, tetapi gaji pemandu saya yang terpaksa menanggung satu keluarga hanya menerima RM300 sahaja. Apakah ertinya gaji yang begitu lumayan sedangkan ramai rakyat yang terpaksa berjimat untuk menyara keluarga.
“Selain itu yang ingin saya tekankan di sini adalah supaya wakil-wakil rakyat Angkatan menganggap jawatan wakil rakyat itu bukanlah tempat mencari kekayaan dan kemewahan. Sekiranya itu yang mereka cari, janganlah menjadi wakil rakyat,” nasihat Nik Aziz. (Mohd. Aizat Mohd Salleh Al-Hafiz d2011:43).
Nik Abdul Aziz juga mempunyai sikap yang mudah menyesuaikan diri dengan masyarakat yang terdiri daripada warga emas, kanak-kanak dan orang susah.
Selain itu, apabila beliau menghadiri majlis-majlis rasmi kerajaan negeri ataupun antarabangsa, serban pasti tidak lekang atas kepalanya, Nik Abdul Aziz gemar mengenakan pakaian baju Melayu dan bersamping yang menunjukkan sikap kesederhanaan beliau itu. Sikap yang diamalkan itu seringkali dicemuh pemimpin-pemimpin lawan yang mengatakan rakyat Kelantan miskin disebabkan kemiskinan yang ditunjukkan oleh pemimpin Angkatan.











