LONDON 17 April – Ketua Akademi Manchester United, Nicky Butt telah dibebaskan di atas jaminan polis selepas ditahan kerana disyaki mencederakan seorang wanita.
Butt, bekas pemain tengah United itu ditahan, semalam, selepas seorang wanita diserang di Hale, Greater Manchester.
Lelaki berusia 44 tahun itu kemudian dibebaskan sementara menunggu siasatan lanjut.
Jurucakap polis Greater Manchester berkata: “Polis telah dihubungi kira-kira pukul 2 petang (10 malam waktu Malaysia) pada Selasa bersamaan 16 April 2019 yang melaporkan seorang wanita telah diserang di sebuah kediaman dekat Broadway, Hale.
“Wanita itu mengalami kecederaan ditangannya, bagaimanapun, dia tidak memerlukan rawatan di hospital. Lelaki berusia 44 tahun telah ditahan kerana disyaki melakukan serangan dan dia dilepaskan sementara menunggu siasatan lanjut.”
Butt memenangi enam gelaran Liga Perdana Inggeris sewaktu bermain di Old Trafford sebelum menyertai Newcastle dan Birmingham.
Dia kembali ke pangkuan United sebagai jurulatih pasukan simpanan pada 2012 dan mengetuai akademi kelab sejak 2016. – AFP











