KUALA LUMPUR 9 April – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyindir tindakan kerajaan memperkenalkan cukai baharu yang hanya menambahkan beban rakyat.
Menerusi catatan terbaharu dalam status akaun Facebook rasminya, Najib berkongsi senarai cukai tersebut antaranya cukai enam peratus yang akan berkuat kuasa pada 1 Januari tahun depan.
Cukai itu dikenakan ke atas pembelian sebarang perkhidmatan digital seperti Netflix, Spotify, Steam, perisian, lagu, video, perkhidmatan e-mel dan laman sesawang atau pembelian iklan.
“Beli aplikasi dari Appstore pun, senyap-senyap kena tibai enam peratus.
“Levi pelepasan ke atas sesiapa yang mahu keluar negara akan dikenakan RM20 jika menuju negara ASEAN dan RM40 jika ke negara lain bermula 1 Jun ini,” kongsinya.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membentangkan dan meluluskan bacaan pertama berkaitan dua cukai baharu itu di Dewan Rakyat semalam. – UTUSAN ONLINE











