MONTE CARLO 17 April – Rafael Nadal tidak berdepan kesukaran untuk melepasi halangan awal selepas mencatat kemenangan mudah ke atas Roberto Bautista Agut 6-1, 6-1 dalam aksi pembukaan kejohanan tenis Masters Monte Carlo, hari ini.
Juara 11 kali itu tidak menunjukkan sebarang tanda dia mengalami masalah lutut yang memaksa bintang tenis Sepanyol itu menarik diri menjelang separuh akhir Indian Wells menentang Roger Federer, sebulan lalu.
Pemain berusia 32 tahun itu telah menyuarakan kebimbangannya terhadap masalah lututnya itu sebelum pertandingan bermula.
Pada pertemuan tersebut, Nadal mudah mencatat kemenangan lima games pada set pembukaan dalam tempoh 17 minit. Dia kemudiannya mendominasi set kedua, di mana Nadal melakukan tiga break points dalam game keempat dan berbuat demikian sebanyak dua kali pada game keenam.
“Ini satu permulaan yang hebat, seronok dapat kembali ke sini. Saya pernah mengharungi pengalaman hebat di gelanggang ini, saya benar-benar gembira beraksi di sini. Bukan mudah untuk kembali selepas ditimpa kecederaan, saya terpaksa bekerja keras bagi mengembalikan kekuatan mental sebagai persediaan untuk kejohanan ini.
“Saya cuba mempamerkan permainan mantap, menguasai pukulan depan apabila peluang terbuka,” kata pemenang 17 kali Grand Slam itu.
Pilihan ketiga, Alexander Zverev juga tidak berdepan masalah untuk mata ke peringkat seterusnya setelah menyingkirkan pemain Kanada, Felix Auger-Aliassime 6-1, 6-4. – AFP











