KUALA LUMPUR 1 April – Pengurus pasukan Bola sepak PDRM, Datuk Kamarul Ariffin Mohd. Shahar optimis The Cops bakal melakar kemenangan pertama dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) apabila turun menentang Sarawak bagi pusingan kedua Piala FA di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, esok.
Jelasnya, apatah lagi selepas perjumpaan pemain-pemain bersama Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi kata-kata semangat, sudah tentu menyemarakkan lagi semangat pasukan untuk memberi aksi terbaik.
“Selepas perjumpaan pemain-pemain dengan Tan Sri Muhyiddin yang turut memberi kata-kata semangat, sudah pasti meniupkan semangat pemain untuk memburu kemenangan pertama.
“Saya juga lihat perubahan ketara sesi latihan di bawah jurulatih Ela (E. Elavarasan) dan Insya-Allah kemenangan pertama akan menjelma buat pasukan esok,” katanya.
Selepas mengharungi enam perlawanan Liga Perdana, PDRM masih tercari-cari rentak kemenangan, malah sekadar mengutip satu mata sekali gus menghuni kedudukan tercorot liga.
Situasi itu membuatkan, Kamarul terpaksa mengambil keputusan merehatkan pengendali terdahulu, Mohd Fauzi Pilus dengan menggantikan E. Elavarasan bagi merubah menambah baik pasukan untuk memberi saingan dalam Liga-M. – UTUSAN ONLINE











