BARCELONA – Jurulatih Barcelona, Ernesto Valverde mengakui Lionel Messi sentiasa membantu pasukan keluar daripada kesukaran selepas menundukkan Manchester United 3-0 pada aksi suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Camp Nou awal pagi semalam.
Dua jaringan daripada Messi dan satu menerusi sentuhan Philippe Coutinho sudah cukup untuk memberikan kelegaan buat Valverde bagi memastikan pasukannya untuk melangkah ke peringkat separuh akhir dengan agregat 4-0.
“Messi sentiasa membantu pasukan keluar daripada kesukaran dan saya tidak merasakan Barcelona perlu memohon maaf kepada pihak lawan kerana memiliki pemain se-pertinya.
“Dia selalu menunjukkan prestasi terbaik dalam perlawanan penting dan bukan sahaja dalam beberapa situasi tetapi ia melibatkan keseluruhan perlawanan.
“Messi berkemampuan untuk menjaringkan gol, namun dia juga sering membantu pasukan melancarkan serangan,” kata Valverde.
Dalam pada itu, Valverde membe-ritahu, kejayaan tersebut memberikan kelegaan buat pasukan selepas sebelum ini mereka telah tersingkir tiga kali berturut-turut di pusingan suku akhir dan yang terakhir kepada AS Roma bagi edisi tahun lalu.
“Kami telah memasang harapan yang besar sebelum berdepan United kerana Barcelona telah lama tidak melepasi peringkat separuh akhir dan tahun amat mengecewakan setelah tewas kepada Roma 0-3 pada aksi timbal balik meskipun sebelumnya menang 4-1 pada perlawanan pertama,” katanya. – Reuters











