SUATU ketika dahulu, biarpun sekadar terlihat gambar lipas yang dipaparkan di papan iklan ketika memandu di lebuh raya, tubuh wanita berusia 47 tahun yang hanya ingin dikenali sebagai Puan R itu akan menggeletar ketakutan.
Pernah telefon pintar miliknya dilempar ke dinding selepas membuka mesej mengandungi gambar serangga berkaki enam itu yang dihantar rakannya dengan niat untuk bergurau.
Kisah tersebut diceritakan konsultan dan ahli hipnoterapi, Hizam Idris yang membantu Puan R mengatasi fobia terhadap lipas menerusi kaedah terapi hipnosis.
Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka, hipnosis merupakan keadaan tidak sedar yang menyebabkan seseorang kelihatan seperti tidur tetapi masih boleh mendengar, melihat atau memahami perkara tertentu yang diajukan kepadanya.
Dalam hal ini, Hizam, 52, mendapat tahu, ketika kecil wanita itu gemar bermain dan tidur di bawah katil. Bagi menghentikan tabiat tersebut, bapanya menakut-nakutkannya dengan lipas. Malangnya, ia terus menghantui kehidupan Puan R puluhan tahun lamanya.
“Menerusi terapi hipnosis yang dijalankan, saya telah menghidupkan suasana yang dilalui ketika zaman kanak-kanak Puan R. Di situ saya menyelinap masuk ke minda bawah sedarnya dan memberi saranan bahawa bapanya melakukan begitu kerana tidak mahu dia bermain di bawah katil.
“Apabila isu pertama selesai, saya wujudkan imej lipas di atas tapak tangannya walaupun secara realitinya serangga itu tiada di situ. Saya katakan, cuba belai lipas tersebut kerana ia merupakan simbol ketakutan dan Puan R perlu berdepan dengannya untuk mengatasi rasa tersebut.
“Ia bukanlah satu proses mudah. Bagaimanapun, secara bertahap, Puan R mampu ‘menyentuh’ lipas tersebut. Kini dia sudah boleh tersenyum melihat gambar lipas dan tidak lagi menunjukkan reaksi takut berlebihan apabila berdepan serangga itu,” ujarnya kepada K2 di Selayang, Selangor baru-baru ini.
Menurut Hizam, untuk menjalani terapi hipnosis, seseorang individu itu perlu boleh mendengar dan mengikut arahan. Mereka yang berada di bawah pengaruh dadah dan kurang siuman tidak boleh dihipnosis.
Lazimnya, individu tersebut akan diminta memejamkan mata, bernafas dengan perlahan sehingga mereka memasuki fasa khusyuk.
Ketika itu ahli hipnoterapi akan memainkan peranan dengan memasuki minda bawah sedar individu terlibat dengan memberi saranan-saranan selaras dengan objektif dan hasrat yang ingin dicapai individu tersebut.
Minda separa sedar memainkan peranan iaitu kira-kira 88 peratus dalam kehidupan kita.
Ia antaranya terdiri daripada imaginasi, kreativiti, bukan kata-kata, perasaan, intuisi atau gerak hati dan visualisasi. Aktiviti minda ini tidak boleh dikawal secara langsung oleh pemikiran tetapi boleh diprogramkan secara sengaja.
“Jadi dalam keadaan khusyuk ‘pintu’ minda bawah sedar akan terbuka luas. Ketika itu, ahli hipnoterapi akan bercakap-cakap dengan klien dan membantu mengeluarkan rasa seperti kurang yakin diri, stres, bimbang, trauma dan perkara negatif yang menyelubungi mereka.
“Ia bukanlah bermaksud mereka lupa semuanya, mereka masih ingat cuma emosi seperti kesedihan dan kemarahan tidak lagi terlekat pada memori. Jika mereka membenci seseorang, mereka masih ingat kepada orang dibenci cuma rasa tersebut sudah dihilangkan,” jelasnya.
Hizam yang pernah berkhidmat dalam bidang akauntan serta pemasaran selain menjadi konsultan perniagaan dan korporat selama 20 tahun begitu meminati bidang kejiwaan.
Gigih belajar
Beliau sendiri gigih belajar dan terlibat dalam cabang ilmu meditasi selama lebih 10 tahun di samping mengikuti kursus intensif hipnoterapi yang menggunakan silibus antarabangsa dan diiktiraf.
Nasihatnya, pengurusan stres perlu dipelajari setiap orang. Ia tidak boleh dihapus tetapi perlu diurus dan dikendalikan dengan berhemah. Ini kerana, jika tiada stres, mana mungkin seseorang itu akan menjalankan tanggungjawab dan amanah seharian dengan baik.
Selain itu, baginya, niat dan keinginan kuat antara faktor penting yang menyumbang dalam kejayaan hipnosis. Misalnya, seseorang yang berniat menguruskan badan akan menanam data-data pelan tindakan mereka ke arah misi tersebut.
Gunakan kata-kata positif bersifat semasa dan elak menggunakan perkataan seperti ‘akan’ atau melibatkan masa seperti ‘esok’. Antara yang dicadangkan ialah ‘saya langsing’, ‘makan sedikitpun saya sudah kenyang’ dan ‘saya suka bersenam’ lama-lama kelamaan tubuh akan mengikut apa yang difikirkan.
Ini kerana, minda bawah sedar tidak membezakan perkara itu betul-betul berlaku atau tidak, ia juga tiada ruang waktu dan tidak membezakan masa dahulu, sekarang atau akan datang.
Kerana itu, ada orang yang berasa teraniaya semasa kecil tetapi apabila dewasa minda bawah sedar dia masih fikir derita itu masih ada bersamanya dan mengasihani diri sendiri sehingga tidak mampu bangkit.
Bagaimanapun, perkara itu boleh diubah menerusi imaginasi, bayangan visual dan pemilihan perkataan yang betul.
Konsepnya, tubuh boleh dipengaruhi oleh fikiran dan fikiran juga boleh dipengaruhi tubuh. Misalnya, mengubah cara duduk boleh menukar fikiran menjadi tenang.
Putus cinta
Hizam teringat, ada seorang wanita berusia lewat 30-an yang menemuinya kerana sering gagal dalam perhubungan dan beberapa kali putus cinta serta ikatan pertunangan terlerai di pertengahan jalan.
“Dari segi penampilan saya lihat tiada masalah. Pada mulanya, saya mendapati dia hanya kurang keyakinan diri, tetapi setelah diselidiki lebih mendalam, rupa-rupanya sejak kecil, dia pernah berjanji akan menjaga dan menemani emaknya yang juga merupakan ibu tunggal sehingga meninggal dunia.
“Jadi janji-janji itu telah tertanam dalam minda bawah sedarnya sejak sekian lama. Dalam hal ini, data tersebut kita boleh ubah kepada dia masih boleh menjadi anak yang baik dan memberi perhatian kepada ibunya walaupun setelah mendirikan rumah tangga.
“Alhamdulillah, tidak lama selepas itu dia akhirnya bersatu dengan pilihan hatinya,” tutur bapa kepada lima cahaya mata itu.
Hizam menegaskan, apa yang diceritakan tidak berniat melawan qada’ dan qadar kerana semua yang berlaku atas kekuasaan dan kehendak Allah. Baginya minda bawah sedar adalah anugerah Ilahi buat manusia kerana kalau fikirannya baik, maka baiklah segala-galanya.
Bagi Veer Kaur, 37, dia berjaya memaafkan seluruh kehidupan silamnya menerusi teknik hipnoterapi yang dipelajarinya awal tahun lalu. Sebelum ini dia cenderung mencederakan diri apabila mengalami depresi dan mengakui ia membuatkannya berasa lebih lega.
“Dalam proses tersebut, saya akhirnya berimaginasi bahawa mendiang bapa pernah meminta ibu menggugurkan saya dan emosi ibu tidak stabil ketika hamil. Perkara itu kemudian disahkan ibu. Sekarang saya lebih tenang dan fokus ke arah kebahagiaan,” kongsinya.
Berlainan pula dengan Siti Noorbaiti Ismail, 47, dia tidak sekadar menggunakan hipnosis sebagai terapi diri, malah menerapkan pengetahuan tersebut untuk mendidik tiga anaknya.
“Bekerja di firma perbankan, tahap tekanan kerja agak tinggi. Kadang-kadang terbawa sehingga ke rumah. Selepas mengetahui teknik hipnoterapi, setiap malam saya akan lakukan terapi ini kepada diri sendiri sebelum tidur antaranya dengan mengatakan hari ini saya telah melakukan yang terbaik.
“Lazimnya kepada anak-anak saya akan melakukan terapi perbualan semasa mereka leka dengan permainan video dan menonton televisyen kerana pada masa tersebut mereka berada dalam keadaan relaks.
“Alhamdulillah ada nampak perubahan dan mereka akan respons saranan saya seperti menunjukkan minat dengan pelajaran dan suka bertanya di dalam kelas apabila saya tanyakan kepada guru yang mengajar anak saya,” ujarnya.
Hipnoterapi mengambil pendekatan kawalan minda bawah sedar dengan memprogramkan fikiran positif untuk membantu seseorang mencapai sesuatu matlamat yang diingini.











