KUALA LUMPUR 11 April – Malaysia Debt Ventures Bhd (MDV) baru-baru ini meraih RM270 juta menerusi terbitan Nota Kewangan Islam Jangka Sederhana (iMTN) di bawah Program Sukuk Murabahan (Dana Ketiga) sedia ada RM1 bilion.
Dilancarkan pada 2017, dana ketiga itu melanjutkan lagi mandat MDV daripada kerajaan untuk menyokong pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), teknologi hijau dan sektor teknologi yang sedang pesat membangun negara menerusi pembiayaan inovatif, katanya dalam kenyataan di sini.
Dijamin sepenuhnya oleh kerajaan, dan dengan jumlah pengeluaran sebanyak RM500 juta setakat ini, dana itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang faedah pembiayaan Islam terhadap sosio-ekonomi dan pada masa yang sama memperluas pilihan pembiayaan pelanggan MDV untuk memenuhi keperluan pertumbuhan mereka.
Dana itu juga mencerminkan sokongan dan komitmen berterusan kerajaan dalam membangunkan sektor teknologi negara dan usaha MDV dalam menyediakan kemudahan pembiayaan fleksibel dan inovatif.
“Pembiayaan ini akan menggalakkan pengembangan syarikat permulaan bernilai tinggi dan syarikat peringkat awal daripada sektor teknologi berimpak tinggi terhadap ekonomi, sekaligus menjadi pemangkin kepada pembangunan dan kemajuan sektor teknologi negara,” kata MDV.
Sebagai pembiaya teknologi, terbitan RM270 juta ini membuktikan komitmen MDV untuk mengisi jurang pembiayaan yang dihadapi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) berasaskan teknologi.
Setakat ini, MDV telah membiayai 760 syarikat dan telah menyalurkan lebih RM11.7 bilion daripada dana pertama dan keduanya.
MDV juga telah membayar balik sepenuhnya Dana Pertamanya daripada Japan Bank for International Cooperation (JBIC) sebanyak RM1.6 bilion, dan sedang membuat pembayaran berjadual bagi RM 1.5 bilion iMTN (dana kedua), yang perlu dibayar balik sepenuhnya pada 2023. – BERNAMA










