Maybank sasar tingkatkan pinjaman gadai janji, PKS dalam masa tiga tahun - Utusan Malaysia

Maybank sasar tingkatkan pinjaman gadai janji, PKS dalam masa tiga tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 11 April – Malayan Banking Bhd. (Maybank) menyasar meningkatkan pengeluaran pinjaman bagi gadai janji dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) masing-masing kepada RM50 bilion dan RM35 bilion, dalam tempoh tiga tahun akan datang, kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Abdul Farid Alias.

Beliau berkata bank itu telah mengeluarkan kira-kira RM12.2 bilion pinjaman gadai janji tahun lepas dan merancang meningkatkannya kepada kira-kira RM50 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Kadar kelulusan kami bagi gadai janji setakat Mac (tahun ini) adalah pada 80 peratus berbanding kadar kelulusan industri pada 70 peratus.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadi, industri telah menyokong peminjam, terutamanya bagi mereka yang perlu mencari rumah,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat agung tahunan syarikat itu, di sini, hari ini.

Pada 31 Disember 2018, skim gadai janji Maybank berjumlah RM87.5 bilion.

Abdul Farid berkata pemberian pinjaman segmen PKS bank itu adalah kombinasi perbankan perniagaan dan PKS runcit.

Ketika ini, perbankan perniagaan berjumlah RM24 bilion manakala PKS runcit sebanyak RM17.1 bilion.

Sementara itu, beliau berkata Maybank akan memacu nisbah Jaws (nisbah yang menunjukkan kadar pertumbuhan pendapatan entiti mengatasi kadar pertumbuhan perbelanjaan) yang positif dalam semua segmen perniagaan untuk mencapai nisbah kos-kepada-pendapatan sekitar 47 peratus, di samping menekankan kepada meningkatkan latihan berteraskan kemahiran kepada kakitangan bagi ekonomi digital.

Pada masa yang sama, beliau berkata Maybank akan mengekalkan amalan pengurusan risiko mantapnya dan usaha pemulihan berterusan bagi memastikan kualiti aset kekal kukuh. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini