Malaysia tidak demokratik jika raja lantik PM, MB - Utusan Malaysia

Malaysia tidak demokratik jika raja lantik PM, MB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 10 April – Malaysia bukan lagi negara demokratik sekiranya raja yang memilih Perdana Menteri dan Menteri Besar.


Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat, hal ini kerana hak rakyat yang mengundi dalam pilihan raya telah dinafikan.


“Saya berpendapat kalau kita anggap bahawa yang akan memilih Perdana Menteri dan Menteri Besar adalah raja, kita sudah tidak jadi negara demokratik lagi.


“Walaupun rakyat pilih, parti yang berhak melantik Menteri Besar tapi ini dinafikan hak rakyat, maknanya bukan demokrasi tapi negara kerajaan raja berkuasa mutlak,” katanya dalam sidang akhbar di lobi Parlimen, hari ini.


Jelas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu, perbahasan boleh dilakukan untuk menilai sistem pemerintahan yang diamalkan negara ini.


“Boleh ada perbahasan sama ada kita terima sistem sedia ada iaitu raja tidak berkuasa hanya ambil tindakan melalui nasihat di peringkat Pusat iaitu Perdana Menteri dan di peringkat negeri adalah Menteri Besar.

“Kalau itu dihapuskan, maka kita tak perlu ada pilihan raya,” katanya.


Beliau diminta mengulas mengenai status Facebook Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang bertitah, “Jangan sibuk mencampuri urusan negeri ini kerana negeri yang berdaulat ini masih mempunyai seorang Sultan.”. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×