SAKHIR 1 April – Juara dunia, Lewis Hamilton memanfaatkan nasib malang pemandu Ferrari, Charles Leclerc untuk merangkul kemenangan dramatik dalam Grand Prix Formula Satu (F1) Bahrain, sebentar tadi.
Pemandu Britain itu pada mulanya kelihatan seperti akan menamatkan perplumbaan di belakang pelumba berusia 21 tahun, Leclerc yang mendahului perlumbaan ketika saingan berbaki 10 pusingan.
Bagaimanapun masalah enjin yang dialami bintang muda Monaco, Leclerc membolehkan Hamilton memintasnya ketika dia memperlahankan kereta.
Valtteri Bottas memastikan Mercedes mendominasi kedudukan 1-2 apabila menamatkan perlumbaan di tangga kedua manakala pendatang baharu F1, Leclerc terpaksa berpuas hati di tempat ketiga.
“Perkara seperti ini boleh berlaku, ia sebahagian daripada sukan permotoran.
“Memang sukar untuk menerimanya tetapi saya yakin kami akan kembali dengan lebih kuat,” kata Leclerc.
Rakan sepasukan Leclerc yang juga juara dunia empat kali, Sebastian Vettel menamatkan saingan di tangga kelima manakala pemandu Red Bull, Max Verstappen di tempat keempat.
“Charles amat bernasib malang, dia telah mempamer pemanduan hebat.
“Kita perlu terus bekerja keras untuk bersaing dengan Ferrari. Charles pasti sangat kecewa,” kata Hamilton kepada radio pasukan. – AFP











