Mahu keluar dari zon selesa - Utusan Malaysia

Mahu keluar dari zon selesa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ADA anak seni yang nasibnya agak baik apabila tidak perlu menunggu lama untuk mencari populariti dalam industri seni. Akan tetapi realitinya tidak pada pemilik nama penuh Nur Sarah Marie Hildebrand.

Bertahun dia sabar mencari ruang untuk menonjolkan kebolehan, akhirnya dia mampu mengukir senyuman lega selain bersyukur penantian itu mula menampakkan hasil.

Namun, dia tidak mahu terbatas di situ. Apa yang penting baginya ketika ini ialah meneroka ruang baharu yang lebih luas untuk terus mengukuhkan nama.

Memuatkan artikel berkaitan…
SARAH HILDEBRAND menitiskan air mata kerana terharu atas sokongan
SARAH HIL DEBRAND menitiskan air mata kerana terharu atas sokongan peminat sewaktu memberi ucapan pada majlis pelancaran kelab peminat #Hildefreinds baru-baru ini.

“Jujurnya pada awal pembabitan dalam dunia seni, saya pernah berada di ambang kekecewaan dan menganggap kerjaya lakonan tidak sesuai untuk saya.

“Saya akui watak Nadine telah berjaya mengangkat nama saya sebaris dengan pelakon lain di saat saya berada pada tahap putus asa.

“Walaupun terpaksa menunggu selama lima tahun untuk penggiat seni nampak bakat ini, saya tetap bersyukur. Watak Nadine seolah-olah menyuntik semangat saya untuk mempertingkatkan kualiti lakonan,” jelasnya membuka bicara.

Rentetan itu, Sarah semakin mendapat perhatian dan menerima banyak tawaran daripada produser yang kian percaya dengan bakat semulajadinya.

Malahan, tidak hanya aktif dalam lakonan, Sarah juga punya bakat dalam bidang pengacaraan yang memang menjadi minatnya sedari kecil lagi.

“Ya, jadual lakonan saya semakin padat dan ada beberapa pengarah yang mulai yakin dengan bakat yang dipinjamkan oleh Tuhan buat saya ini.

“Saya tidak mahu mempersia-siakan masa dan peluang yang ada. Ketika ini saya sedang sibuk dengan penggambaran drama Hero 2 untuk siaran RTM pada Jun hadapan.

“Selain bergelar pelakon, saya juga berjinak-jinak dalam dunia pengacaraan yang pada saya amat menyeronokkan untuk dijadikan pengalaman.

Selesai drama Pujaan Hati Kanda saya mengacarakan program Dari Meja Peguam,” tuturnya berkongsi diari 
seni.

Hidup perlu terus

Mengalihkan bicara mengenai kehidupan peribadi, Sarah kini lebih memberi keutamaan terhadap tanggungjawabnya sebagai anak dan memfokus untuk mencari rezeki dalam bidang seni.

Walaupun sukar untuk dia memadam memori saat manis percintaan yang terjalin lima tahun lalu bersama pelakon Nabil Mahir, ironinya dia perlu memandang ke hadapan dan kembali berada di landasan yang tepat demi karier.

“Tipulah selepas lima tahun tak ada terasa dan bukan mudah untuk saya melupakan semua memori. Mungkin Hildefriends adalah salah satu cara saya untuk ‘move on’.

“Sebak dan terharu sebenarnya bila peminat tidak pernah bosan dengan saya malah mereka banyak memberi nasihat dan kata-kata semangat sewaktu pasca putus cinta.

“Prinsip nombor satu saya ialah sentiasa profesional dalam menjalankan tugas. Andai kata ada pihak yang mahukan kami bergandingan bersama, saya bersedia. Waktu kerja, segala cerita peribadi akan saya tinggalkan di rumah,” akhirinya yang mengumumkan putus cinta dengan Nabil Mahir pada Februari lalu.

Kasih #Hildefriends buat Sarah

PEMINAT adalah tulang belakang bagi seseorang selebriti. Begitu pentingnya peranan bergelar seorang penyokong dalam membantu menaikkan kerjaya serta menjadi anak seni sebagai suri teladan, seharusnya diberi perhatian.

Atas dasar itu, Sarah telah menubuhkan kelab peminatnya yang digelar sebagai #Hildefriends bagi memperluaskan jalinan hubungannya bersama penyokong menerusi pelbagai aktiviti yang sudah dirangka lebih awal.

“Kelab peminat ini ditubuhkan secara rasmi pada 30 Mac lalu. Dengan cara ini saya dapat lebih mendekati dan menghargai sokongan peminat.

“Kami sudah rancang pelbagai aktiviti antaranya perkongsian minat terhadap buku, keusahawanan, riadah, bicara motivasi dan banyak lagi.

“Semua ini untuk saya menghargai pengorbanan peminat yang tak jemu memberi sokongan dan semangat.

“Selain dalam negara, saya juga turut mengumpul peminat dari Indonesia, Bangladesh, negara Asia Barat, Afrika Selatan, Brunei, Singapura, Hungary, Korea Selatan dan Amerika Syarikat.

“Saya sangat bersyukur dengan realiti ini sebab ia bermakna hasil kerja saya boleh menarik minat bukan orang Malaysia sahaja tetapi di luar negara. Secara tak langsung dapat mengharumkan negara sendiri,” tuturnya yang menyimpan impian untuk melebarkan sayap ke luar negara dan mahu diiktiraf di peringkat global pada lima tahun dari sekarang.

Bicara rupa, watak dan hijab

MENYEDARI ramai memberi komen membina berkenaan watak antagonis yang dilakonkan, Sarah tidak mahu tampak stereotaip dan bersedia mengehadkan watak sedemikian demi memberi laluan kepada tawaran lain.

Seperti pelakon terkenal lain, dia mahu merealisasikan hasratnya untuk diberi peranan yang lebih mencabar bagi mengekalkan impak dalam industri seni tanah air.

“Saya sedia untuk penuhi permintaan peminat dan terbuka untuk terima tawaran membawakan watak antagonis.

“Namun, pada masa sama saya juga masih mahu mencapai hasrat mencuba bawa karakter lain, lari daripada stereotaip wanita bertudung.

“Antara watak yang saya inginkan adalah hantu, orang gila, gangster dan apa sahaja yang berkaitan dengan ketenteraan.

“Alhamdulillah, dapat membawakan watak pegawai bomba dalam drama Hero 2. Saya sudah boleh ‘tick’ satu daripada senarai yang saya sebutkan tadi,” ulasnya berseloroh.

Graf seninya yang naik mendadak dan berwarna-warni pada tahun ini tidak sedikit pun membuatkan dia bangga dengan pencapaian yang dilakar.

Tidak mahu mendabik dada dan bersenang-lenang, wanita berusia 28 tahun ini menganggap masih banyak yang perlu diperbaiki.

“Apa yang boleh saya ungkapkan ialah bersyukur sahajalah selepas lima tahun jerih perih saya akhirnya berbaloi.

“Saya bukan muda lagi, mungkin ini adalah masa terbaik dan sudah tertulis rezeki saya untuk mula bersinar setelah lima tahun dalam industri.

“Saya berterima kasih kepada TV3 dan pihak produksi Mache Allstar kerana memberi peluang serta ruang untuk naikkan graf seni saya dalam drama Pujaan Hati Kanda.

“Kalau nak kata bangga, tidaklah kerana masih banyak perlu dilakukan. Apa yang penting adalah sentiasa bersyukur,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini