MELAKA – Mahkamah Tinggi Melaka hari ini mengekalkan keputusan dibuat oleh Mahkamah Sesyen tahun lalu iaitu melepas dan membebaskan ahli perniagaan Noor Jan Tuah, 62, terhadap empat tuduhan menipu serta menyamar sebagai Sultan Melaka pada 2013.
Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin di akhir penghakimannya berkata, pihak pendakwaan yang diwakili tiga Timbalan Pedakwa Raya, Badius Zaman Ahmad, Nabilalif Mohd. Rosli dan Mazuin Hashim gagal menimbulkan kes prima facie terhadap Noor Jan, malah keempat-empat saksi yang ditampilkan pihak pendakwa juga menolak mereka ditipu.
Noor Jan yang menggunakan gelaran ‘Sultan Melaka’ sekali lagi hadir ke Kompleks Mahkamah Ayer Keroh hari ini apabila pihak pendakwaan membuat rayuan di Mahkamah Tinggi berhubung keputusan dibuat Mahkamah Sesyen itu pada 3 Julai 2018.
“Selepas mahkamah meneliti keterangan direkodkan dalam rekod rayuan perayu (Timbalan Pendakwa Raya), didapati bahawa Hakim Bicara (Mahkamah Sesyen) telah membuat satu keputusan dan dapatan faktanya tepat dan selamat apabila memutuskan perayu gagal mewujudkan prima facie.
“Saksi dibawa pihak pendakwaan juga mengakui mereka bukan mangsa tipu ekoran penyamaran responden (Noor Jan). Maka setelah meneliti hujahan kedua-dua pihak dan alasan penghakiman hakim bicara, mahkamah menolak rayuan perayu dan mengekalkan keputusan Hakim Bicara dan perintah itu kekal,” kata Ahmad Nasfy pada akhir penghakimannya.
Sepanjang perbicaraan, Noor Jan diwakili Peguam Bela Datuk Shaharudin Ali manakala pihak pendakwaan memanggil 16 saksi dan empat mangsa.
Terdahulu, Noor Jan pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada 17 November 2016 atas empat pertuduhan mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menyamar dan memperdaya empat individu untuk menganjurkan majlis istiadat penyerahan surat pelantikan sebagai Sultan Melaka sedangkan itu bukan identiti sebenarnya.
Perbuatan itu didakwa dilakukannya di A’Famosa Resort Melaka, Alor Gajah pada pukul 10 malam, 28 Disember 2013. – K! ONINE











