LONDON 1 April – Penjaga gol Tottenham Hotspur, Hugo Lloris berharap dapat mengetepikan kekalahan kepada Liverpool selepas kesilapannya pada penghujung permainan membenarkan The Reds mengungguli takhta Liga Perdana Inggeris (EPL).
Spurs dilihat hampir meraih satu mata selepas Lucas Moura menafikan jaringan pembukaan Roberto Firmino, sementara Moussa Sissoko melepaskan peluang terhidang untuk memenangi perlawanan.
Kegagalan Lloris menampan dengan cemerlang tandukkan Mohamed Salah pada penghujung permainan hingga memaksa Toby Alderweireld untuk melakukan jaringan sendiri sekaligus memberi kemenangan kepada tuan rumah.
Penjaga gol kelahiran Perancis itu, mengakui bersalah di atas insiden tersebut dan berharap kembali beraksi Rabu ini berdepan Crystal Palace di stadium baru dapat menebus kesilapannya.
“Sebagai penjaga gol, anda mengetahui tanggungjawab yang harus dipikul.
“Sememangnya ia akan bermain di fikiran tetapi saya lega kerana kami akan mengharungi satu lagi perlawanan dalam tiga hari lagi. Ia adalah peluang untuk menebus kesilapan saya,” kata Lloris. – AGENSI











