PARIS 17 April – Aaron Ramsey yang akan berpindah ke kelab gergasi Serie A, Juventus, musim depan, diberi peluang terlebih dahulu beraksi di Itali, menjelang pertembungan Arsenal dengan Napoli pada suku akhir kedua Liga Europa, Jumaat ini.
Pemain tengah Wales itu, akan tamat kontrak, Jun ini, dan sekali gus mengakhiri ikatannya selama 11 tahun bersama Arsenal, selepas bersetuju menandatangani perjanjian dengan Juventus menerusi tawaran gaji lumayan sebanyak 400,000 pound (RM2.15 juta) seminggu untuk empat musim.
Peranan Ramsey di Arsenal semakin terhad sejak di bawah kendalian Unai Emery, walaupun prestasi terkini pemain itu meledakkan tiga gol dalam enam penampilan terakhir, telah membantunya mendapatkan kembali tempat dalam kesebelasan utama.
Pemain berusia 28 tahun itu yang bersedia mengikut jejak langkah rakan senegaranya, John Charles dan Ian Rush yang beralih angin dari England ke Turin, minggu lalu, membantu Gunners mencatat kemenangan 2-0 ke atas Napoli.
“Kami memberi peluang yang hebat kepada diri sendiri dalam timbal balik pertama, sekarang apa yang penting ialah saling bekerjasama dan berharap dapat layak ke suku akhir. Napoli membuktikan mereka sebuah pasukan berkualiti dan kini berada di tangga kedua Serie A, jadi, sukar untuk berdepan mereka.
“Sejak beberapa tahun lalu, kami sedar mereka bukanlah calang-calang lawan dan lebih-lebih lagi kami perlu bertandang ke stadium mereka,” kata Ramsey. – AFP











