KLANG – Lelaki yang mengamuk dan menyerang dua anggota polis dalam satu kejadian di hadapan sebuah bank di Bukit Tinggi di sini pada 2 April lalu dijangka berdepan tiga pertuduhan jenayah.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, tiga pertuduhan dihadapi lelaki berasal dari Sabah berusia 41 tahun itu adalah cubaan membunuh, memiliki dadah serta melakukan kerosakan dan mengakibatkan kemusnahan.
“Ketika ini, suspek direman atas kesalahan dadah yang dibawa di dalam beg sandangnya ketika kejadian selepas perintah reman tujuh hari di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan untuk cubaan membunuh tamat semalam.
“Kita juga akan menjalankan siasatan ke atas kesalahan memecahkan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) selepas dia gagal mengeluarkan wangnya dari bank terbabit pada hari kejadian,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, seorang lelaki telah mengamuk dan menyerang dua anggota polis dalam satu kejadian di hadapan sebuah bank di Bukit Tinggi gara-gara tidak berpuas hati kerana gagal mengeluarkan wang daripada sebuah mesin ATM.
Bagaimanapun, tindakan lelaki berasal dari Sabah itu akhirnya membawa padah apabila pihak polis telah melepaskan dua das tembakan yang telah mengenai perut suspek dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu.
Suspek yang cedera kemudiannya dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan dan berada dalam keadaan stabil. – K! ONLINE











