JOHOR BAHRU 10 April – Dewan Muda Johor (DMJ) menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengatakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tidak ada peranan dalam melantik Menteri Besar merupakan adalah sedikit angkuh dan mengelirukan.
Menurut DMJ, mengikut Undang-undang Tubuh Negeri Johor, Perkara 3 (1) menyatakan bahawa Sultan Johor mempunyai kuasa mutlak untuk melantik Menteri Besar Johor dan dalam isu pelantikan itu, Sultan Johor tidak perlu bertindak atas nasihat mana-mana pihak.
“Namun begitu, secara ‘convention’, parti yang menang akan menghantar beberapa nama calon Menteri Besar kepada Sultan Johor untuk pertimbangan baginda dan Pakatan Harapan (PH) semestinya perlu menghantar nama-nama calon tersebut,” kata DMJ dalam kenyataan itu.
Dalam keadaan itu, kata DMJ, Sultan Johor akan meneliti calon-calon itu dan hanya akan melantik jika calon tersebut dipersetujui oleh Tuanku sendiri.
Bagaimanapun, kata DMJ, jika calon yang dihantar itu tidak dipersetujui oleh Sultan Johor, parti tersebut perlu menghantar cadangan nama calon lain kepada sehingga mendapat persetujuan dan perkenan Sultan Johor untuk melantik calon berkenaan sebagai Menteri Besar.
“Maka, kenyataan untuk mengatakan bahawa Sultan Johor tidak mempunyai peranan dan kuasa untuk melantik Menteri Besar Johor adalah sangat tidak tepat, terpesong dan sengaja mengelirukan masyarakat mengenai tugas dan peranan Tuanku dalam sistem bekerajaan terutamanya di Negeri Johor,” katanya. – UTUSAN ONLINE











