DALAM usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk terus memperkasa fungsi utamanya iaitu menangani isu kos sara hidup rakyat, membanteras penyelewengan perdagangan dalam negeri, melindungi pengguna dan harta intelek, pelbagai tindakan penguatkuasaan telah dipergiatkan.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaannya, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, antara yang diberi tumpuan ialah melaksanakan penguatkuasaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Anti Pencatutan untuk menentukan tahap harga barang secara berpatutan berdasarkan rekod dan maklumat perniagaan terdahulu.
Menurutnya, ia sejajar dengan pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada September tahun lalu.
Kementerian menyedari perubahan kadar cukai ini akan memberi impak ke atas harga barangan dan penguatkuasaan tersebut adalah releven dalam mengekang tingkah laku sesetengah peniaga yang menaikkan harga demi mengaut keuntungan tidak munasabah.
“Sehubungan itu, gerak gempur Operasi Catut 5.0 ke atas keseluruhan rantaian pengedaran barangan dan perkhidmatan di seluruh negara dilaksanakan dalam dua fasa iaitu sebelum SST bermula pada 8 Ogos dan selepas SST bermula pada 1 September tahun lalu.
“Melalui pemantauan yang dijalankan, premis yang didapati mengenakan caj tinggi diberikan notis dan disiasat bagi menentukan wujudnya unsur pencatutan atau sebaliknya. Sepanjang operasi berjalan sebanyak 999 Notis 21 (Seksyen 21) dikeluarkan dan hasil daripada notis tersebut sebanyak 36 kes telah dihasilkan,” katanya.
Iskandar Halim memberitahu, antara kesalahan yang dilakukan oleh peniaga adalah tidak menyimpan dan menyelenggara rekod perniagaan, enggan atau gagal memberi maklum balas notis serta mencatut.
Katanya, melalui teras menguatkuasakan undang-undang untuk mengawal selia bekalan dan harga juga pihaknya telah menjalankan pemeriksaan rutin terhadap premis perniagaan makanan seperti medan selera, pasar basah, gerai makan, pasar tani, kawasan rehat dan rawat, pasar mini, pasar raya dan bazar Ramadan di seluruh negara yang menjadi tumpuan orang ramai.
“Pemeriksaan semasa pelaksanaan Skim Kawalan Musim Perayaan juga turut diperhebat bagi meningkatkan pematuhan peniaga kepada peraturan sekali gus dapat memastikan peniaga sentiasa menetapkan harga barangan secara berpatutan.
“Sebanyak 84,619 pemeriksaan dibuat di seluruh negara ke atas semua peringkat perniagaan dan daripada jumlah itu, sebanyak 15 kes telah dihasilkan di bawah kesalahan menjual melebihi harga maksimum, gagal menggunakan tanda harga khas merah jambu (323) dan tidak meletakkan tanda harga atau senarai harga bagi barangan yang dijual (73),” katanya.
Iskandar Halim menjelaskan, dalam usaha menangani isu kos sara hidup pula, penekanan turut diberikan dalam memastikan pengguna sentiasa mendapat bekalan yang mencukupi dan tindakan tegas turut diambil terhadap peniaga yang sengaja menyembunyikan stok bekalan barangan keperluan.
“Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh kementerian termasuk menjalankan pemeriksaan di setiap peringkat rantaian pengedaran barang dan diperluas ke premis yang disyaki menyembunyikan atau menjalankan aktiviti penyeludupan barangan kawalan.
“Sebanyak 19,649 stesen minyak, 1,053 pengilang, 97 pengimport, 5,561 pemborong dan 486 pembungkus telah diperiksa. Daripada jumlah pemeriksaan tersebut, sebanyak 420 kes telah dihasilkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” ujarnya.
Tambahnya, jenis barang kawalan yang paling banyak menghasilkan kes adalah gas petroleum cecair (LPG) sebanyak 198 kes, diikuti diesel (75) dan minyak masak (32).
“Dengan kejayaan ini, kita dapat menyelamatkan wang negara sebanyak RM7.5 juta dan nilai ini meningkat sebanyak 100 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM3.7 juta,” terangnya.











