JOHOR BAHRU 13 April – Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar akan menerima secara terbuka sekiranya digugurkan daripada barisan Exco Kerajaan Negeri Johor yang baharu.

Mohd. Khuzzan berkata, Menteri Besar baharu yang akan dilantik esok mempunyai kuasa untuk merombak barisan Exco Kerajaan Negeri sekiranya beliau berpendapat barisan sedia ada tidak menjalankan tanggungjawab sebaiknya.
“Itu adalah prosedur yang normal. Menteri Besar akan tentukan nama setiap portfolio dan dipersembahkan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk mendapat perkenan baginda.
“Pada pandangan saya sendiri, sebagai Exco kita haruslah bersikap profesional. Kita perlu bersedia menerima sebarang kemungkinan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kad JDT dan Yayasan JDT di Kafe JDT, di sini, sebentar tadi.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai syarat rombakan barisan Exco Kerajaan Negeri yang ditetapkan Sultan Johor untuk melantik Menteri Besar yang baharu. – UTUSAN ONLINE











