REMBAU 12 April – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN)Rantau mungkin diketahui lebih awal.
Menurut Pengerusinya, Azhar Azizan Harun, waktu keputusan mungkin akan diumumkan sama seperti ketika di PRK Cameron Highlands dan Semenyih.
“Seperti biasa kita sasar pada atau sebelum pukul 10 malam tapi insya-Allah, mungkin sedikit awal seperti di PRK-PRK Cameron Highlands dan Semenyih,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas melakukan semakan isi peti undi dan agihan peralatan tempat mengundi kepada ketua tempat mengundi di Dewan Serbaguna, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.
Sementara itu, menurut Azhar, sepanjang dua minggu kempen PRK Rantau, Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya SPR telah melaksanakan undang-undang kesalahan pilihan raya sebanyak 16 kali iaitu masing-masing lapan kepada kedua-dua buah parti yang bertanding.
“Jadi sama rata, bukan terhadap parti A sahaja atau parti B sahaja, lapan parti A dan lapan parti B, semua sekali 16 kali, itu sebagai fakta. Kesalahan tersebut antaranya kempen tanpa permit, (pemasangan) kain rentang dan bunting tanpa mengikut peraturan dan parti yang tidak bertanding.
“Proses kempen berjalan dengan lancar, tiada insiden-insiden yang amat serius tapi seperti biasa terdapat tuduhan-tuduhan perlanggaran kesalahan pilihan raya sepanjang kempen oleh kedua-dua parti bertanding, selain itu kempen berjalan aman dan lancar,” katanya.
Dalam pada itu juga, menerusi satu kenyataan, Azhar memberitahu, sebanyak 515 orang petugas akan bertugas bagi proses pengundian esok.
“Sebanyak 14 pusat mengundi dan 53 saluran akan dibuka esok untuk tujuan pengundian. Seramai 20,793 orang pengundi akan mengundi di PRK Rantau pada hari esok.
“SPR berharap semua pengundi dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi,” katanya. – UTUSAN ONLINE










