Kepimpinan melibatkan nilai-nilai seharian - PM - Utusan Malaysia

Kepimpinan melibatkan nilai-nilai seharian – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 14 April – Tun Dr. Mahathir Mohamad berpendapat, kepimpinan bukanlah suatu subjek rumit yang dibincangkan seperti ‘sains roket’ sebaliknya melibatkan nilai-nilai kehidupan seharian.

Perdana Menteri menjelaskan, antara nilai harian tersebut adalah integriti dan kejujuran kerana jika seseorang pemimpin itu tidak memiliki nilai berkenaan, dia merupakan seorang pemimpin yang korup dan tidak boleh dipercayai.

Nilai kedua katanya, adalah kerja keras serta bangga dengan kerja sendiri yang sekali gus dapat menjadikan pengamalnya seorang yang berintegriti dan jujur.

Memuatkan artikel berkaitan…

Dr. Mahathir memberitahu, seseorang itu juga perlu melibatkan diri dalam konsep pembelajaran sepanjang hayat yang menuntutnya untuk tidak sekali-kali berhenti menimba ilmu.

“Ilmu pengetahuan tidak statik dan tiada hadnya. Lebih banyak kita baca, lebih banyak kita sedar bahawa terdapat banyak perkara untuk dibaca dan dipelajari,” katanya ketika berucap ada Program Dialog Terbuka – Belia Tanya, Tun Jawab di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir memberitahu, nilai seterusnya yang dipercayai amat penting adalah disiplin kerana tanpanya, seribu idea dan cita-cita sekali pun tidak akan dapat direalisasikan.

Menurutnya, ini turut melibatkan sikap menepati dan menghormati masa.

“Satu nilai yang perlu dielakkan adalah ego. Ada yang berpendapat ego memacu persaingan tetapi pada saya, itu adalah lebih kepada keazaman.

“Ego adalah mengenai diri sendiri dan bukan mereka yang dipimpinnya. Ego akan membuatkan kita tidak melihat kesilapan sendiri atau enggan untuk mengakuinya. Kita tidak akan berupaya memperbetulkannya jika kita tidak menyedarinya,” katanya.

Pada pendapat Dr. Mahathir, seseorang pemimpin yang baik akan mengetepikan ego dan memperbetulkan kesalahan jika ia memanfaatkan pengikutnya.

“Inilah beberapa nilai yang saya rasa penting untuk seseorang itu menjadi ketua. Senarai nilai ini pastinya tiada had dan seseorang akan merasainya ketika menempuhi alam belia dan dewasa,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini