KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan sindiket penyeludupan migran dengan menahan dua lelaki warga Myanmar yang dipercayai diupah sebagai pemandu dalam Op Pintas di tempat letak kereta di Jalan Persiaran Tuanku Sirajuddin di sini semalam.
Operasi kira-kira pukul 6.30 petang itu dijalankan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Pegawai Turus D7 Kuala Lumpur, Deputi Superintenden Rohazah Alwi berkata, ketika ditahan, kedua-dua suspek berusia 28 dan 38 tahun sedang memandu dua buah kenderaan jenis Proton Persona dan Perodua Myvi yang dilihat mencurigakan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat lapan migran lelaki warga Myanmar berusia 17 hingga 50 tahun dalam dua buah kereta terbabit yang disyaki dalam perjalanan ke ibu negara.
“Pemandu mengaku menerima panggilan daripada orang tengah untuk membawa migran dengan kereta sewa serta menerima upah sebanyak RM50 untuk setiap migran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Rohazah, kedua-dua suspek ini adalah daripada sindiket yang sama dan telah bergerak aktif sejak beberapa bulan lalu.
Katanya, pihaknya kemudian merampas beberapa barang dipercayai berkaitan kegiatan tersebut seperti telefon bimbit, wang tunai serta salinan kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Siasatan masih dijalankan bagi memburu dalang utama dan kes disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.- UTUSAN ONLINE











