KUALA LUMPUR 15 April – Bimbang dimarahi isteri kerana kalah judi, seorang buruh bertindak membuat laporan palsu kononnya dirompak dua lelaki bermotosikal di Bukit Tunggal Dunin, Jalan Kanowit-Julau-Durin, Sibu, Sarawak dua hari lalu.
Memetik laporan Utusan Borneo, Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, lelaki berusia 37 tahun yang bekerja sebagai buruh itu mendakwa dirompak pada pukul 9.30 malam ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Rumah Garing, Hulu Naman di Batu 22 dari Sibu Jaya.
Katanya, suspek mendakwa didatangi dua lelaki bermotosikal ketika berhenti di tepi jalan apabila tayar hadapan keretanya pancit yang kemudian meminta RM2,000 daripadanya.
“Setelah siasatan lanjut dijalankan, suspek kemudian mendedahkan sebenarnya dia tidak dirompak tetapi kalah dalam pertaruhan judi.
“Punca lelaki itu membuat laporan (palsu) adalah untuk menyelamatkan diri kerana bimbang isterinya akan memarahi dan menyalahkannya apabila kalah RM2,000 ketika berjudi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut laporan itu lagi, suspek telah ditahan semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE











