KOTA BHARU 10 April – Kelab Penyokong Redkijang Kelantan (RKC) mendesak Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) agar telus dan ikhlas dalam merencanakan pengurusan badan induk itu, bukannya bertindak mengikut emosi dan membuat keputusan membuta-tuli.
Presiden RKC, Shamsul Fazily Awang berkata, akibat tidak telus dan tidak ikhlas selain campur tangan pihak yang tidak berkenaan, kemelut dalaman Kafa yang berlarutan dari musim lepas sehingga kini masih tidak selesai.
Katanya, susulan itu tidak hairanlah mengapa Syarikat MyInspiration Sdn. Bhd. sanggup membatalkan kerjasama dengan Kafa menerusi Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn. Bhd.
“Bola sepak adalah jiwa bagi rakyat Kelantan terutama kepada penyokong-penyokong setia dan jangan hampakan perasaan kami.
“Saya berharap Kafa dapat menstrukturkan semula pengurusan yang lebih telus dan ikhlas
atau memberi peluang kepada sesiapa yang mampu menguruskannya seperti wakil dari kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Baru-baru ini, arena bola sepak Kelantan dikatakan berada di ambang kemusnahan apabila My Inspiration Sdn. Bhd. membatalkan serta-merta perjanjian menguruskan pasukan Kelantan yang dimeterai dengan Kafa.
Perbatalan itu berlaku My Inspiration Sdn. Bhd selaku pemegang terbesar saham dalam Kelantan Red Warriors (KRW) Sdn. Bhd hilang kepercayaan terhadap Kafa yang tidak menghormati kontrak yang telah dimeterai.
Susulan itu juga telah menyebabkan pengendali pasukan Marko Kraljevic dan bintang bola sepak Kelantan, Mohd. Badhri Radzi memutuskan untuk meninggalkan pasukan Kelantan. – UTUSAN ONLINE











