KOTA BHARU – Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) hari ini menubuhkan bilik gerakan khas bagi memantau kawasan-kawasan penanaman padi yang terlibat dengan masalah kemarau.
Pengerusinya yang baru dilantik beberapa hari lepas, Datuk Husam Musa berkata, bilik gerakan itu akan berfungsi sebagai satu unit yang akan menyediakan langkah segera mengatasi masalah berkaitan tanaman padi KADA.
“Semalam KADA dengan kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia Kelantan telah melaksanakan program pembenihan awan.
Hari ini kita tubuhkan bilik gerakan khas ini yang berkuatkuasa serta merta kerana kita hanya mempunyai kira-kira dua bulan sebelum padi dituai,” katanya selepas Majlis Serah Tugas Mantan Pengerusi KADA, Datuk Md Alwi Che Ahmad kepada beliau di sini hari ini.
Husam berkata, masalah penanaman padi yang dihadapi di kawasan KADA adalah perkara utama yang perlu diberi perhatian segera demi kebajikan pesawah.
“Saya telah dapatkan semua maklumat daripada mantan pengerusi khususnya dalam mengenalpasti kekuatan sedia ada yang boleh diperkukuhkan dalam pemerkasaan peranan KADA sebagai agensi yang boleh meninggikan kedudukan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya. – Bernama










