KUALA LUMPUR 10 April- Tuduhan dan fitnah yang dilemparkan terhadap isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pembelian berlian merah jambu kini sudah terjawab.
Sehubungan itu pelbagai pihak memberikan pandangan dan nasihat supaya permohonan maaf dibuat terhadap isteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu termasuk Pengarah Strategik Pergerakan Pemuda UMNO, Wan Agyl Wan Hasan.
Berikut adalah kenyataan penuh Wan Agyl:
1. Baru-baru ini di Dewan Rakyat, seluruh negara telah dikejutkan dengan pengakuan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah bahawa berlian merah jambu yang sebelum ini dikaitkan dengan Datin Seri Rosmah Mansor sebenarnya tidak dibeli oleh isteri bekas Perdana Menteri itu.
2. Pengakuan daripada Kementerian Kewangan itu sekali gus membuktikan bahawa wujudnya satu fitnah besar daripada Pakatan Harapan (PH) yang telah dijadikan bahan kempen oleh mereka semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
3. Sehubungan itu, Pergerakan Pemuda UMNO mendesak supaya Pakatan Harapan (PH) yang telah pun menjadi kerajaan selepas menang menerusi modal fitnah tersebut agar memohon maaf secara terbuka kepada keluarga Datuk Seri Najib Tun Razak serta rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
4. Permohonan maaf itu penting bagi mengelakkan rakyat daripada terus terjerumus serta bergelumang dengan fitnah yang kononnya Datin Seri Rosmah telah membeli berlian dengan harga jutaan ringgit.
5. Lebih membimbangkan, PH yang menguasai isu ini melalui bekas Ketua Cabang PKR Rembau, Badrul Hisham Shaharin turut menuduh Datin Seri Rosmah membeli berlian merah jambu itu tanpa membayar cukai pembelian. Dan ini juga jelas merupakan satu penipuan besar kepada rakyat Malaysia secara keseluruhannya.
6. Sebagai sebuah kerajaan yang kononnya mendukung semangat reformasi dan ketelusan, pemimpin parti di dalam PH termasuk Perdana Menteri sendiri, Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu mengeluarkan kenyataan terbuka dengan memohon maaf dan mengakui bahawa mereka telah menyebarkan satu fitnah terancang semata-mata untuk menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika itu.
7. Selain itu, Pergerakan Pemuda UMNO juga mendesak supaya Yang Dipertua Dewan Rakyat bertindak dengan lebih adil dan tegas dengan melarang ahli-ahli Parlimen PH menggelar Datuk Seri Najib dengan gelaran yang tidak baik apatah lagi tuduhan terhadapnya sedang dibicarakan di mahkamah dan beliau masih belum dibuktikan bersalah di mata undang-undang.
8. Tindakan tegas daripada Yang Dipertus Dewan ini penting bagi mengelakkan rakyat untuk mudah percaya terhadap tuduhan-tuduhan liar seperti yang kita dapat dengar setiap hari. Kita tidak mahu rakyat juga diberi contoh tidak baik sekali gus membenarkan mereka mendahului keputusan mahkamah dan sistem perundangan di negara kita. Sebagai dewan yang mulia, ahli Parlimen seharusnya diingatkan untuk mendukung prinsip kedaulatan undang-undang di negara kita dan bukannya boleh semborono dengan melemparkan pelbagai tuduhan tanpa bukti ketika sedang bersidang.
9. Sebagai sebuah negara yang berdaulat, sudah semestinya kita mahu kerajaan dan rakyat mendukung undang-undang serta memastikan tidak ada seorang pun rakyat dilayan secara tidak adil hanya kerana semata-mata tertuduh itu berbeza ideologi politik dengan kerajaan.
10. Maka, dengan itu, sekali lagi Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak supaya semua pihak yang selama ini pernah menyebarkan fitnah cincin berlian merah jambu yang kononnya dibeli Datin Seri Rosmah agar memohon maaf secara terbuka kepada rakyat.
11. Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia sendiri berjanji akan membantu menyebarkan permohonan maaf termasuk di semua platform media sosial dan laman blog milik kami supaya lebih ramai rakyat maklum bahawa tuduhan sebelum ini hanyalah fitnah semata-mata.
12. Ingatlah bahawa memfitnah itu lebih teruk dosanya daripada membunuh. Dan jika benar PH mahu menjadi kerajaan yang adil, jangan segan untuk memohon maaf dan menarik balik segala fitnah yang telah disebarkan itu. Kerana orang yang mengaku telah melakukan sesuatu kesalahan dengan memohon maaf, akan dipandang tinggi oleh masyarakat.
Pengarah Strategik Pergerakan Pemuda UMNO,
Wan Agyl Wan Hassan
Artikel ini merupakan padangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan Online.











