Hati-hati guna media sosial - Utusan Malaysia

Hati-hati guna media sosial

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,
BERKONGSI
cerita memang satu keseronokan kepada setiap individu apatah lagi cerita itu adalah sesuatu yang belum diketahui mereka. Begitu juga dengan amalan forward message atau share post dalam media sosial.

Seakan-akan sudah menjadi suatu kebiasaan, setiap cerita akan dipanjangkan kepada penerima lain. Sahih atau tidak itu tidak mengapa, yang penting bahan cerita tersebut perlu disampaikan secepat mungkin.

Tular sejak beberapa hari lalu berkenaan isu bebola daging IKEA yang dikatakan tidak halal.

Memuatkan artikel berkaitan…

Cerita tersebut begitu pantas tersebar sehingga menyebabkan pihak pengurusan IKEA terpaksa mengambil tindakan pantas memperbetul cerita tersebut supaya tidak menjejaskan perniagaan mereka.

Tidak kurang juga beberapa hadis palsu turut melanda di media sosial. Ramai rupa-rupanya alim ulama celup yang menyebarkan ajaran-ajaran sesat dan adakalanya tidak masuk akal langsung.

Ini dibimbangi membawa kepada kerosakan tauhid dan akidah dalam kalangan masyarakat Islam.

Malah ada segelintir individu yang sanggup mencipta akaun media sosial palsu semata-mata untuk menyebarkan cerita yang belum tentunya benar. Adakah ini merupakan satu penyakit jiwa dalam kalangan masyarakat kita?

Namun itulah realiti masyarakat di era digital hari ini. Amat gemar berkongsi cerita tanpa mengetahui buruk baiknya. Umum perlu mengetahui, penyebaran maklumat tanpa bukti sahih adalah salah di sisi undang-undang negara.

Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Akta Hasutan 1948 adalah undang-undang yang memperuntukkan kepada sesiapa didapati menyebar maklumat palsu, meragukan serta menimbulkan kerisauan masyarakat dalam laman sosial boleh didakwa dan dikenakan tindakan.

Sebaiknya masyarakat perlu sentiasa menasihati antara satu sama lain jika ada ahli keluarga atau rakan-rakan yang gemar memanjangkan cerita yang belum sahih di media sosial.

Kerajaan tidak akan mampu untuk membanteras gejala ini tanpa sokongan dan keprihatinan masyarakat keseluruhan.

 

AZURA KAMARUDZZAMAN

Pensyarah UiTM Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini