LONDON 2 April – Pep Guardiola dalam nada gurauan apabila mengakui dia tidak dapat mengelak daripada mengeluarkan kata-kata kesat selepas Liverpool melakar kemenangan ke atas Tottenham Hotspur pada lewat permainan, Ahad lalu.
Manchester City bersedia untuk merampas kembali kedudukan teratas dalam carta Liga Perdana Inggeris dengan kelebihan satu perlawanan ditangan, sehinggalah jaringan sendiri Toby Alderweireld ekoran kesilapan yang dilakukan penjaga gol, Hugo Lloris dan sekali gus menghadiahkan kemenangan kepada Liverpool.
Skuad bimbingan Jurgen Klopp turut melakar kemenangan pada lewat aksi di Anfield, terima kasih di atas kesilapan penjaga gol Everton, Jordan Pickford dan sewaktu perlawanan menentang Crystal Palace apabila Julian Speroni turut melakukan kesilapan.
Namun, Guardiola berkata, dia tidak percaya tuah berpihak kepada Liverpool dalam pemburuan gelaran Liga Perdana Inggeris.
“Sewaktu anda melihat mereka, anda berkata ‘ah s…’. Tetapi selepas lima atau 10 minit, ia sesuatu yang bagus. Tiada sesiapa berkata, pertarungan ini mudah. Kami sedar tentang itu, saya juga menyedarinya. Ia satu persaingan yang bagus.
“Selepas seketika, anda berkata ia sesuatu yang mengagumkan, beginilah cara kami meneruskan kehidupan. Semua orang berasa teruja dengan apa yang bakal berlaku kepada kami minggu depan,” katanya dalam sidang akhbar, hari ini. – AGENSI











