KUALA LUMPUR 12 April – FGV Holdings Bhd. (FGV) mengalu-alukan perancangan kerajaan untuk memulihkan Felda dan komitmen baharu mereka untuk mengukuhkan situasi kewangan peneroka-peneroka Felda.
FGV berkata, perancangan untuk mempelbagaikan sumber pendapatan peneroka merupakan langkah positif dan pihaknya terbuka untuk terlibat dengan perbincangan strategik dalam mencari penyelesaian terbaik dan menerokai potensi kerjasama yang boleh memberi manfaat kepada pemegang saham.
Katanya, FGV juga bersetuju bahawa terdapat keperluan segera untuk menyemak semula terma dalam Perjanjian Sewaan Tanah (LLA) dengan Felda memandangkan perkara ini telah kerap kali dibangkitkan sejak tiga tahun lalu, hingga mencetuskan ketindaktentuan dan kebimbangan dalam kalangan pemegang saham.
“Di bawah terma semasa LLA, FGV perlu membayar pajakan tetap kira-kira RM250 juta setahun untuk tempoh selama 99 tahun, bermula dari 2012. Bayaran sebanyak RM250 juta ini dibayar tanpa mengira pergerakan harga semasa minyak sawit mentah (MSM).
“Pada 2012 semasa rundingan LLA dibuat, purata harga MSM adalah RM2,843 satu tan metrik (MT). Harga MSM pada 10 April 2019 adalah RM2,047 satu tan metrik.
“Tambahan pula, FGV juga komited untuk membayar Felda sebanyak 15 peratus daripada keuntungan hasil ladang LLA. FGV telah memenuhi semua tanggungjawab di bawah LLA,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah FGV, sebagai sebuah syarikat senaraian awam, FGV perlu mendapatkan kelulusan daripada pemegang saham jika mahu melakukan sebarang pindaan dalam LLA.
“Di bawah pengurusan baharu, FGV fokus kepada pelan transformasi secara menyeluruh yang mana telah mula membuahkan hasil. FGV akan mengumumkan keputusan kewangan suku pertama 2019 pada Mei 2019 dan ini akan meletakkan syarikat di landasan betul untuk mencapai pertumbuhan mapan hasil daripada semua langkah-langkah positif yang telah diambil sejak Oktober 2018,” katanya. – UTUSAN ONLINE










