KUALA LUMPUR 10 April- Orang ramai terutama peminat sukan marathon dipelawa menyertai acara larian yang akan diadakan di Central Park, Bandar Utama pada 16 Jun ini sebagai tanda sokongan kepada golongan orang kurang upaya (OKU).
Pengarah Eksekutif Dignity and Services, Helen Teh dalam satu kenyataan berkata, tujuan utama penganjuran acara itu adalah sebagai pendedahan kepada masyarakat terhadap golongan OKU.
Acara larian amal yang dinamakan sebagai ‘Everyone Can Run 2019 ’ itu menyasarkan sumbangan sebanyak RM150,000 untuk membiayai dua program penting kepada golongan terbabit.
“Program pertama yang kita mahu wujudkan adalah program pendedahan dan membantu golongan OKU mempelajari ilmu kemahiran. “Selain itu, kita juga mahu membantu golongan berkenaan bekerja dan mencari wang perbelanjaan sendiri,” katanya di sini hari ini. Sebanyak tiga kategori dipertandingkan iaitu dua, lima dan 10 kilometer (km).
Selain itu orang ramai juga berpeluang memenangi pertandingan ‘pakaian terpilih’ Kepada sesiapa yang berminat boleh melayari laman web www.dignityandservices.org untuk mendaftar secara dalam talian. – UTUSAN ONLINE











