KUANTAN 1 April – Dua lelaki dilaporkan hilang selepas bot fiber yang dinaiki mereka terbalik di Sungai Pahang berhampiran Pulau Awang Mandur di Pekan, dekat sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 4.45 petang itu berlaku ketika mangsa, Chan Hoke Kee, 49, dan seorang lagi yang dikenali sebagai Ah Poi bersama dua rakan mereka serta seorang tekong bot membuat rondaan di sekeliling Pulau Awang Mandur.
Difahamkan, rondaan itu bagi tujuan merakam gambar sekitar pulau tersebut yang menjalankan aktiviti mengepam pasir.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Amran Sidek berkata, semasa bot sedang bergerak, penumpang di dalam bot berada di kedudukan yang tidak seimbang kerana dua orang berdiri merakam gambar mengakibatkan bot fiber itu terbalik.
Katanya, dua penumpang iaitu Sow Ke Cheong, 44, dan Fan Kek Heung, 41, serta tekong bot dikenali Suprianto, 24, yang merupakan warga Indonesia diselamatkan seorang penduduk kampung yang kebetulan memancing di tebing sungai dengan menggunakan bot miliknya manakala Hoke Kee dan Ah Poi hilang di dalam sungai.
“Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat digerakkan dengan pasukan bomba menurunkan dua bot serta dibantu lapan bot awam.
“Selain anggota polis dan bomba, pasukan mencari dan menyelamat turut disertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), kakitangan hospital dan orang awam,” katanya di sini hari ini.
Menurut Amran, bot fiber panjang kira-kira empat meter itu kemudian dijumpai pada pukul 7 petang ini dan dibawa ke tebing.
“Gerakan mencari dan menyelamat dihentikan pada pukul 7.30 petang kerana cuaca gelap dan akan disambung pada pukul 8 pagi esok.
“Kita juga telah meminta bantuan Unit Skuba Marin dan Unit Skuba Tentera Laut Diraja Malaysia,” katanya. – UTUSAN ONLINE











