Dibuli kerana buta, Iskandar terima ANK - Utusan Malaysia

Dibuli kerana buta, Iskandar terima ANK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram


KUALA LUMPUR 5 April – Mempunyai masalah cacat penglihatan bukan menjadi penghalang bagi Tokoh Anugerah Nilam Kebangsaan (ANK 2019) Muhammad Iskandar Mohd. Norzamir, 11 untuk merangkul pencapaian itu dalam kategori Sekolah Pendidikan Khas.


Anugerah itu bukan sahaja memberi makna buat Muhammad Iskandar dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pendidikan Khas Sungai Petani, Kedah malah ia menjadi bukti kepada pembuli yang pernah membulinya bahawa dia turut mampu berjaya.


“Saya membaca atas minat sendiri. Buku yang dibaca kebanyakannya bergenre komik.

“Anugerah ini adalah bukti kepada pembuli yang saya juga mampu berjaya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Majlis ANK 2019 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…


Iskandar yang membaca sebanyak 124 buah buku sejak tahun lepas membawa pulang wang tunai sebanyak RM500, sijil penghargaan serta baucer buku sumbangan PTS Media Group Sdn. Bhd. bernilai RM100.


Dalam pada itu, Tokoh ANK 2019 kategori Sekolah Menengah Bahasa Melayu, Muhammad Farees Ashraf Noh, 17 menjadikan bahan bacaan tidak bercetak seperti portal berita antaranya Utusan Online sebagai pembacaan hariannya.

“Bahan bacaan atas talian terutama portal berita memberi lebih ilmu pengetahuan kerana kebanyakannya sentiasa dikemaskini, berbanding buku yang bersifat ‘one-off’.

Bahan-bahan yang saya baca adalah berkenaan ekonomi dan perundangan, kerana saya amat meminati kedua-dua bidang tersebut,” katanya yang berjaya membawa pulang wang tunai RM600, sijil penghargaan serta baucer buku bernilai RM100.


Sementara itu, Mohd. Adam Syahmi Ahmad Shahran, 12 dari SK Saujana Utama berkata, minatnya untuk mengetahui isu-isu semasa seperti golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) mendorongnya untuk membaca buku sebanyak 867 setakat ini.


“Buku yang paling tebal saya pernah baca ialah buku tulisan Nelson Mandela yang bermuka surat sebanyak 762 dan saya mengambil masa dalam lima hari untuk menghabiskannya,” katanya yang merupakan Tokoh ANK 19 kategori Sekolah Rendah Bahasa Inggeris. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini