KUALA LUMPUR 5 April – Pengguna Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) berpeluang mendapatkan pemasangan pelekat sistem Radio-frequency identification (RFID) secara percuma dengan menderma darah di Pejabat Pentadbiran SKVE, KM 27 Arah Timur, Lebuhraya SKVE, 25 April ini.
Program derma darah yang bermula pada 10 pagi hingga 3 petang itu mendapat kerjasama Pusat Darah Negara dan Kementerian Kesihatan.
SKVE dalam satu kenyataan memaklumkan, pengguna di lebuh raya itu boleh mendapatkan pemasangan pelekat RFID berkenaan di ruangan tempat letak kenderaan di Pejabat Pentadbiran SKVE.
“Pemasangan pelekat RFID ini akan berlangsung dua hari iaitu pada 25 dan 26 April dari pukul 9 pagi hingga 5 petang,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai sistem pembayaran elektronik terbaharu di plaza tol itu boleh terus menghubungi SKVE di talian 03-3191 6626 atau layari laman web www.skve.com.my atau Facebook South Klang Valley Expressway (SKVE). – UTUSAN ONLINE











