KUALA LUMPUR 8 April – Polis menahan dua individu kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran dadah menerusi serbuk minuman berperisa di sekitar ibu negara, di sini pada Khamis lalu.
Difahamkan, kesemua suspek ditahan dalam dua serbuan dan polis merampas sebanyak 4.6 kilogram dadah pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM480,400. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, suspek pertama berusia 38 tahun dan dipercayai seorang pengedar dadah ditahan di hadapan bangunan Sun Complex, Jalan Bukit Bintang, di sini. “Menerusi tangkapan pertama, kita merampas sejumlah dadah jenis ekstasi seberat 257 gram yang dianggarkan bernilai RM25,700 dan dipercayai boleh dibekalkan kepada 50 orang pengguna,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini. Menurut Mazlan, susulan siasatan terhadap suspek pertama telah membawa kepada tangkapan suspek kedua yang berusia 47 tahun di Apartment Kasaria, Taman Maluri, Cheras.
Jelasnya, sejumlah paket serbuk air minuman yang disyaki berisi pelbagai jenis dadah seberat 4,399 gram yang bernilai RM454,700 dirampas.
“Suspek direman selama tujuh hari sehingga Khamis ini dan kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE











