Cinta Azhar pada kapal klasik - Utusan Malaysia

Cinta Azhar pada kapal klasik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Di sebuah bengkel kayu di Kampung Bakap Baru, Jalan Tanjung Tualang, Batu Gajah, Perak kuat kedengaran lagu irama metal, Heaven and Hell oleh kumpulan Black Sabbath mengiringi Captain Jack menyiapkan sebuah replika menyerupai kapal Laksamana Cheng Ho.

Captain Jack atau nama sebenarnya Azhar Kamaruddin, 50, anak jati Kampung Bakap Baru, tekun menyiapkan kapal itu yang ditempah seorang pelanggan bulan lepas. Azhar yang amat meminati bidang seni kayu giat membina replika kapal sejak 21 tahun lalu.

Minat itu tercetus selepas Azhar membaca sebuah buku bertajuk Illustrated History of Transport pada 1997 lalu nekad menyertai perusahaan membuat replika kapal.

Memuatkan artikel berkaitan…

Disebabkan minatnya yang mendalam terhadap pembuatan replika kapal, Azhar sanggup berhenti kerja sebagai penyelia di sebuah pasar raya pada tahun sama untuk mencari kerja di kilang kayu dan besi di sekitar Ipoh.

Dalam tempoh lima tahun, beliau bekerja di beberapa kilang khusus untuk mempelajari cara-cara menggunakan mesin bagi membina replika kapal.

Azhar yang mempunyai tiga anak berusia 17, 19 dan 24 tahun juga banyak membaca buku berkaitan sejarah kapal-kapal lama serta spesifikasinya bagi memudahkannya merangka replika kapal dengan lebih teliti.

Bermula dengan kayu terpakai, beliau membina kapal-kapal kecil dan menjual kepada rakan-rakannya sebelum hasil jualan itu digunakan bagi membeli mesin untuk kegunaan di bengkelnya.

Sangat rumit

“Proses membina replika kapal sangat rumit dan memerlukan penelitian bermula daripada proses lakaran pelan di sebuah studio sebelum proses seterusnya dilakukan di bengkel,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Azhar amat meminati kapal purba terutamanya dari Zaman Firaun dan Zaman Pertengahan kerana sejarahnya selain cabaran untuk menghasilkan replika yang menuntut kepada kesempurnaan.

Menurutnya model popular dalam kalangan pelanggan adalah replika kapal dari Eropah dan kapal yang dikemudi Laksamana Cheng Ho yang dibina pada 1403.

Azhar turut membina replika kapal seperti Baltimore Clipper yang dibina pada 1812 dan Mediterranean Galley pada 1571.

“Masa yang diambil untuk menyiapkan sesebuah replika kapal bergantung kepada saiz. Adakalanya ia mencecah sehingga enam bulan untuk menyiapkan sebuah replika berukuran panjang antara 1.5 meter dan 1.8 meter,” jelasnya.

Replika kapal yang dihasilkan oleh Azhar dijual kepada pelanggan dari dalam dan luar negara termasuk Singapura, Indonesia dan Scotland.

“Ada di antara replika kapal pembuatan saya dipamerkan di beberapa galeri luar negara,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini