PUTRAJAYA 15 April – China Communications Construction Company Ltd. (CCCC) bersetuju memulangkan semula sebahagian bayaran pendahuluan fasa kedua Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang berjumlah RM3.1 bilion.
Menurut Tun Dr. Mahathir Mohamad, pembayaran mengikut jumlah perjanjian asal membabitkan laluan berkembar untuk sambungan utara dibuat dalam tiga peringkat.
Jelasnya, bayaran pertama berjumlah RM500 juta akan dibuat dalam tempoh seminggu bermula 12 April lalu, manakala RM500 juta lagi dalam tempoh sebulan bermula tarikh sama.
“Bakinya akan dibayar dalam tempoh tiga bulan selepas ditolak kos kerja-kerja tertangguh, penggantungan projek dan pembatalan sambutan Utara,” katanya dalam sidang akhbar khas berkenaan ECRL di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.
Dalam pada itu, Perdana Menteri memberitahu, CCCC juga bersetuju untuk menampung bersama kos operasi dan penyelenggaraan projek ECRL.
Bagi tujuan itu kata beliau, sebuah syarikat usahasama akan ditubuhkan dengan CCCC dan Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) memegang kepentingan sebanyak 50:50.
Beliau berkata, CCCC akan menyediakan sokongan teknikal dan berkongsi risiko operasi selepas projek ECRL siap dibina.
“Kerjasama ini akan meringankan beban kewangan Malaysia yang mana sebelum ini kos operasi dan penyelenggaraan ditanggung sepenuhnya oleh Malaysia.
“Malaysia juga boleh memanfaatkan kepakaran operasi dan penyelenggaraan yang dimiliki oleh CCCC, sekali gus meningkatkan tahap daya maju jangka panjang projek ERCL,” katanya.
Perdana Menteri dijadual akan ke Beijing pada hujung bulan ini bagi menghadiri Persidangan Satu Jalur Satu Jalan (OBOR) selain menandatangani perjanjian projek itu.
Pembinaan ECRL disambung semula selepas
Malaysia-China pada Jumaat lalu menandatangani perjanjian tambahan (SA) ECRL membabitkan wakil MRL dan CCCC di Beijing.
Wakil Khas Perdana Menteri, Tun Daim Zainuddin berkata, landasan baharu yang bakal dibina itu adalah sepanjang 648 kilometer berbanding rancangan awal 688 kilometer.
Berikutan itu, kos pembinaan Fasa 1 dan 2 ECRL itu dikurangkan kepada RM44 bilion iaitu pengurangan sebanyak RM21.5 bilion daripada kos asal RM65.5 bilion.
Lauan ECRL akan menghubungkan 20 stesen membabitkan Kota Bharu, Kelantan hingga ke Pelabuhan Klang di Selangor. – UTUSAN ONLINE











