KUALA LUMPUR 14 April – Pemilihan calon, jentera dan kerjasama yang semakin utuh antara Barisan Nasional (BN) dengan Pas menjadi faktor kemenangan parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
Begitulah pendapat Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad yang pada masa sama menzahirkan ucapan terima kasih kepada pengundi DUN Rantau kerana berani menyatakan pendirian terhadap kegagalan kepemimpinan kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Noraini menjelaskan, kemenangan besar BN menerusi calonnya, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Timbalan Presiden UMNO membuktikan faktor calon diterima semua segmen pengundi termasuk India dan Cina antara penyumbang utama.
Beliau malah menegaskan, kemenangan `hatrik’ BN itu turut membuktikan kerjasama seluruh jentera BN meliputi komponennya dan rakan-rakan parti seperti Barisan Kemajuan India SeMalaysia (IPF), Makkal Sakti dan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) yang tidak berbelah bahagi.
“Pada masa sama, pengaruh politik Islam menjadi semakin terserlah hasil daripada kerjasama erat antara BN dan Pas.
“Kerjasama BN dan Pas yang semakin hari semakin kuat ini, jelas memberi isyarat kepada penyokong kedua-dua parti untuk terus komited menjayakan sinergi politik ini,” kata beliau dalam kenyataan hari ini. – UTUSAN ONLINE











