JOHOR BAHRU 11 April – Tiga daripada empat calon yang disebut-sebut Menteri Besar Johor yang baharu akur siapa juga yang dilantik.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang, 53, berjanji akan menggalas apa juga amanah yang diberikan kerana yang lebih penting adalah kesejahteraan rakyat dan negeri ini.
Mazlan yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan negeri berkata, tidak perlu untuk mana-mana individu termasuk dirinya melobi mendapatkan jawatan itu kerana siapa pun yang dipilih beliau akan akur.
“Saya ini diberi amanah apa sekali pun saya akan memikul tanggungjawab itu dengan terbaik, malah selama ini pun itu yang sentiasa saya lakukan kerana kepentingan rakyat itu lebih utama.
“Jadi, saya akur apa juga keputusan,” katanya ketika dihubungi Utusan Online di sini hari ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan Negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar, 49, (ADUN Semerah-PKR) berkata, beliau akan menjalankan tugas seperti biasa, tanggungjawab yang diberikan kepadanya sebelum ini.
“Saya seperti biasa terus kerja yang telah diamanahkan terutama dalam memastikan fasiliti Sukma dapat disiapkan mengikut jadual,” katanya ringkas.
Seorang lagi calon Menteri Besar, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan, 60, berkata, pihaknya menghormati konsensus sedia ada bahawa jawatan itu milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
ADUN Parit Yaani itu juga menyifatkan cakap-cakap calon daripada parti komponen lain mungkin sekadar khabar angin sahaja.
“Kita hormati keputusan di peringkat nasional iaitu jawatan itu perlu diisi wakil Bersatu, namun, sekiranya di peringkat negeri (Istana Johor) saya dipilih, saya akur dan akan menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin demi manfaat rakyat Johor,” katanya.
Dalam pada itu, seorang lagi calon, ADUN Bukit Kepong daripada Bersatu yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal, 43, enggan memberi sebarang komen. – UTUSAN ONLINE










