REMBAU 5 April – Calon Bebas, R. Malarvizhi kesal kerana dihalang daripada menyerahkan manifestonya bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi.
Suri rumah berusia 51 tahun tersebut berkata, beliau mahu memberi manifesto itu kepada Anwar semasa Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-20 penubuhan PKR di Dataran Rantau kerana Anwar bakal memimpin negara sebagai Perdana Menteri kelapan.
“Saya berharap Anwar akan baca dan nilai manifesto saya, tetapi hasrat saya tidak kesampaian. Malah saya dihalang dan diusir oleh beberapa individu begitu sahaja.
“Sebagai salah seorang calon dalam PRK Rantau saya berhak untuk menyampaikan manifesto saya kepada Anwar,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-20 penubuhan PKR di Rantau itu turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali; Sasterawan Negara, A. Samad Said serta beberapa pemimpin kanan PH.
Malarvizhi berkata, memandangkan beliau gagal menyerahkan manifestonya kepada Anwar, beliau berhasrat memberinya kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. – UTUSAN ONLINE











