KUALA LUMPUR 11 April – Cadangan UMNO Johor kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan adalah tidak wajar.
Malah, cadangan itu menurut Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hanya boleh dilakukan Pakatan Harapan (PH) selaku kerajaan negeri dan bukannya dilakukan pihak pembangkang.
“Kita mempunyai majoriti kerusi DUN yang lebih besar daripada pembangkang. Keadaan di Johor juga stabil tanpa sebarang isu serius.
“Mungkin pembangkang sudah tidak sanggup bersabar menunggu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Sukar untuk memahami tujuan mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Stesen Udara Maritim Subang dekat sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim dan Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai spekulasi yang Muhyiddin akan dilantik sebagai Menteri Besar, beliau secara berseloroh berkata, usianya sudah terlalu tua untuk menjawat jawatan tersebut.
Bagaimanapun, katanya, beliau sedia membantu mana-mana wakil rakyat yang dilantik menjadi Menteri Besar baharu untuk mentadbir Johor lebih maju ke hadapan. – UTUSAN ONLINE










