KUALA LUMPUR 5 April – Bursa Malaysia ditutup rendah sedikit pada Jumaat susulan jualan saham mewah dan saham wajaran tinggi terpilih selari prestasi bercampur-campur bursa serantau.
Penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menutup minggu ini pada kedudukan 3.26 mata lebih rendah kepada 1,641.81 berbanding 1,645.07 pada penutupan Jumaat sebelumnya.
Indeks dibuka 0.1 mata lebih tinggi kepada 1,645.08 dan bergerak antara 1,640.30 dan 1,645.09 di sepanjang hari.
Kedudukan pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 388 berbanding 381, manakala 396 kaunter tidak berubah, 681 tidak diniagakan dan 21 yang lain digantung.
Jumlah dagangan merosot kepada 2.65 bilion unit bernilai RM1.57 bilion berbanding 3.18 bilion unit bernilai RM2.13 bilion semalam.
Seorang peniaga berkata, walaupun dagangan agak lemah di bursa tempatan hari ini unjuran keseluruhan pasaran ekuiti global kekal positif dengan pelabur menaruh harapan tinggi terhadap rundingan perjanjian Amerika Syarikat-China yang akan berakhir tidak lama lagi.
“Laporan mengenai konsensus baharu telah dicapai dalam rundingan antara kedua-dua negara itu mendorong peningkatan dalam pasaran pesat membangun dengan indeks meningkat tinggi.
“Bursa Malaysia bagaimanapun mencatat keputusan berbeza susulan keputusan mengecewakan dalam data eksport yang dikeluarkan semalam sekali gus mengheret turun beberapa saham sektor pembuatan,” kata peniaga itu.
Eksport Malaysia merosot 5.3 peratus pada Februari tahun ke tahun. – BERNAMA











