REMBAU 14 April – Barisan Nasional (BN) belum memutuskan sama ada meletakkan calon bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan pada 11 Mei depan.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, mesyuarat bagi membincangkan perkara tersebut akan dibuat secepat mungkin berikutan penamaan calon bakal diadakan pada 27 April ini.
“Kita akan berunding sesama kita dalam minggu ini kerana selama ini kita diwakili parti komponen di sana iaitu LDP (Parti Liberal Demokratik). Bagaimanapun LDP sudah tidak lagi berada dalam BN.
“Kita akan teliti kemungkinan BN meletakkan calon atau tidak dalam PRK tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas bertemu orang ramai di Pasar Rantau di sini hari ini.

PRK Parlimen Sandakan diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung pada 28 Mac lalu.
Baru-baru ini, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, UMNO tidak meletakkan calon, namun sedia membantu calon dari blok pembangkang termasuk Pas yang bercadang bertanding. – UTUSAN ONLINE











