ALOR SETAR – Seorang lelaki yang merupakan bilal sebuah masjid di Kuala Nerang dekat sini ditemui mati lemas di tali air di Batu 8, Simpang Empat di sini hari ini.
Mayat Mohd. Khairuddin Ahmad, 33, ditemui orang awam dalam keadaan but getah dipakainya tersangkut pada pukat kira-kira pukul 4 petang.
Rakannya, Abdul Jalil Abdul Majid, 63, berkata, mangsa ketika kejadian sedang memukat ikan sebelum dipercayai lemas di dalam tali air tersebut.
“Isteri arwah beritahu mangsa keluar memukat pada pukul 9 pagi tadi dan hanya ditemui lemas kira-kira pukul 4 petang tadi,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.
Katanya, arwah tinggal di rumah keluarga di Kampung Kubang Palas, Kuala Nerang dan akan berulang-alik ke Simpang Empat, Alor Setar untuk bertemu isteri dan dua anaknya yang tinggal berasingan.
“Arwah beberapa hari lalu beritahu dapat memukat ikan besar di kawasan tali air itu dan mungkin hari ini dia mahu memukat lagi,” ujarnya.
Tambahnya, Allahyarham Mohd. Khairuddin merupakan bilal di Masjid Kubang Palas, Kuala Nerang.
“Kali terakhir saya bertemu dengannya pada solat Jumaat lalu dan arwah sebak ketika membacakan khutbah mengenai penindasan umat Islam di Palestin,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd. Rozi Jidin berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – K! ONLINE











