KUALA LUMPUR 11 April – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 13 hari perbicaraan bermula 7 Oktober ini untuk kes bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad yang didakwa atas 10 pertuduhan pecah amanah dan menerima rasuah berhubung pembelian hotel di Kuching Sarawak.
Tarikh tersebut ditetapkan oleh Hakim Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali ketika kes itu disebut buat pertama kali di Mahkamah Tinggi di sini.
Tarikh yang ditetapkan bermula 7 hingga 9 Oktober sebelum disambung semula pada 14 hingga 25 bulan yang sama.
Hakim Mohd. Nazlan turut menetapkan 13 Mei ini untuk sebutan akhir kes itu sebelum perbicaraan.
Terdahulu, Mohd. Isa, 70, yang diwakili peguam Ridha Abdah Subri mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya selepas semua pertuduhan terhadapnya dibacakan semula.
Bagi pertuduhan pertama, Mohd. Isa didakwa sebagai seorang Pengarah Syarikat Felda Investment Corporation Sdn. Bhd. yang diamanahkan dengan dana syarikat itu telah melakukan pecah amanah dengan meluluskan cadangan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suit di Kuching Sarawak dengan harga RM160 juta tanpa kelulusan Ahli Lembaga Pengarah Felda.
Perbuatan itu bertentangan dengan keputusan mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah Felda Bil 303 bertarikh 25 Jun 2013 yang dibuat berkenaan pelaksanaan amanah tersebut di mana ahli lembaga pengarah Felda memberi mandat kepada Ahli Lembaga Pengarah Syarikat FIC dalam membuat keputusan pelaburan yang melibatkan projek bernilai RM100 juta ke bawah.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan dan boleh dikenakan denda.
Bagi pertuduhan kedua hingga kesepuluh, Mohd. Isa didakwa secara rasuah menerima suatu suapan untuk dirinya iaitu wang tunai yang kesemua berjumlah RM3.09 juta daripada Ikhwan Zaidel iaitu ahli lembaga pengarah Syarikat Gegasan Abadi Properties Sdn. Bhd. melalui Muhammad Zahid Md. Arip sebagai upah bagi membantu meluluskan pembelian hotel berkenaan.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49 dan 50 Menara Felda Platinum Park, No. 11 Persiaran KLCC di sini antara 29 April 2014 serta 11 Disember 2015. – UTUSAN ONLINE.










