Berniaga selepas jelajah negara jiran - Utusan Malaysia

Berniaga selepas jelajah negara jiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG – Penat lelah seorang wanita yang kerap berulang-alik ke negara jiran bagi mempelajari masakan ‘tomyam chamboo’ tidak sia-sia apabila masakan itu membawa kejayaan terhadap perniagaan kedai makannya sejak setahun lalu. 

Eirziana Ramli, 36, yang berniaga di kedai makan di Kampung Lembaga, di sini, juga menambah baik campuran bahan dalam masakan itu juga menyebabkan rasanya lebih istimewa serta menjadi tarikan penduduk di kawasan ini.

Menurut Eirziana, sebelum membuka kedai makan yang menghidangkan tom yam chamboo itu dia kerap ke Selatan Thailand untuk mempelajari masakan yang digemari rakyat negara ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Katanya, walaupun tidak berada sepenuh masa di negara berkenaan, tetapi dia telah menjelajah ke setiap kedai makan bagi mencuba dan merasai sendiri keenakkan sebenar tomyam chamboo. 

“Saya tidak kisah apabila berulang kali berbuat demikian untuk mendapatkan rasa yang sedap. Saya cuba membuat masakan itu untuk makan bersama ahli keluarga di rumah terlebih dahulu.

“Selepas mendapat pujian daripada ahli keluarga baharulah saya tekad untuk  membuka kedai makan sendiri,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Eirziana berkata, keistimewaan tomyam chamboonya adalah kuah yang pekat, rasa pedas dan masam serta campuran lauk pauk yang membangkitkan selera.

Katanya, perniagaannya kini mendapat sambutan yang baik apabila menjadi tumpuan ramai pelanggan.

“Bermula dari situlah saya menanam keazaman yang tinggi untuk mengejar kejayaan dalam perniagaan tomyam chamboo.

“Paling istimewa tomyam chamboo yang dimakan bersama bihun, mi atau mi segera itu adalah rasanya berlainan daripada yang dijual ditempat lain dan harga pula murah.

“Ada masanya juga saya tidak sempat melayan pelanggan yang datang terlalu ramai, namun saya mendapat bantuan daripada dua pekerja yang mampu memberi layanan terbaik dan tidak mengecewakan,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini