REMBAU 5 April – Pemberian hibah sebanyak 1.25 peratus yang merupakan terendah dalam sejarah penubuhan Tabung Haji adalah berita menyedihkan bagi para pendeposit terutama di luar bandar.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebahagian besar penduduk kampung menyimpan duit di Tabung Haji dengan harapan mendapatkan pulangan berpatutan setiap tahun.
“Kalau simpan RM2,000 dan hibah 1.25 peratus, berapa dapat? Lebih baik mengoca (tangkap) ikan di Sungai Linggi. Ini berita yang amat menyedihkan, pendeposit semuanya orang Islam, apa nak jadi sekarang?
“Saya pun dah bercita-cita, lebih baik keluar duit dari Tabung Haji kalau macam inilah (Datuk Dr.) Mujahid Yusof jaga Tabung Haji. Dia tidak memikirkan ini tempat nelayan, penoreh getah, pesawah dan pekebun kecil menyimpan duit dan mendapatkan pulangan,” katanya ketika berkempen di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Siliau di sini hari ini. Mujahid yang merupakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri hari ini mengumumkan agihan hibah atau bonus bagi tahun kewangan 2018 pada kadar 1.25 peratus melibatkan pengagihan RM913 juta kepada semua pendeposit. Dalam pada itu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, keputusan kerajaan menarik diri daripada menyertai Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa dibuat selepas mendapat bantahan kuat pelbagai pihak termasuk BN.
“Kita telah berhimpun dan minta ahli-ahli Parlimen kita mengadap Yang di-Pertuan Agong dan raja-raja kerana jika diteruskan ia akan gadai kedaulatan negara.
“Kerajaan tandatangani perjanjian antarabangsa pada 3 Mac lalu yang membolehkan raja-raja kita didakwa di mahkamah antarabangsa. Disebabkan bantahan itu Kabinet hari ini membuat keputusan menarik diri, Alhamdulillah,” katanya.
Mengulas mengenai PRK Rantau, Mohamad meminta pengundi di kawasan itu supaya keluar mengundi bagi memastikan kemenangannya.
“Di sini banyak pengundi yang tinggal di luar DUN ini. Minta mereka balik mengundi, tak guna laungkan ‘hidup Tok Mat’, tapi tak datang mengundi,” katanya. – UTUSAN ONLINE











